Giliran Pemimpin Warisan dilapor polis fitnah Ketua Menteri dan Menteri Luar
17:02 Feb 19, 2018  |  By SabahKini2
Giliran Pemimpin Warisan dilapor polis fitnah Ketua Menteri dan Menteri Luar

Peter Anthony bukan sahaja menghina Ibu Ketua Menteri dan Menteri Luar malah memfitnah mereka. Begitu juga laporan SUA Warisan berniat jahat.

KOTA KINABALU, 19 Feb -- UMNO Bahagian Kimanis hari ini membuat dua laporan polis berasingan ke atas Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Peter Anthony dan juga terhadap Setiausaha Agung Parti itu, Loretto Padua.



Seorang daripada pengadu, Abdul Jalil Bin Abdul Ghani, 63, mendakwa di dalam laporannya, bahawa Peter, semasa berucap di program Bicara Warisan yang diadakan di Matunggong 14 Februari lalu, dengan niat jahat telah mengeluarkan kata-kata kesat berunsur fitnah dan berbaur hasutan yang ditujukan terhadap Menteri Luar Malaysia, Dato' Sri Anifah Hj Aman, keluarga beliau serta Barisan Nasional.

Abdul Jalil juga menyenaraikan beberapa lagi tuduhan tidak berasas berunsur fitnah berkaitan keluarga YAB Ketua Menteri Sabah, yang turut disebut oleh Naib Presiden Parti Warisan Sabah itu dalam ucapan yang sama.

Sementara itu, laporan ke atas Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah itu pula telah dibuat oleh Setiausaha Politik Anifah, sebagai respon terhadap laporan polis yang dibuat oleh Parti Warisan Sabah ke atas Anifah, minggu lalu.



Jihek Bin Basanu, 62 yang juga Setiausaha Politik menyifatkan laporan yang dibuat oleh Loretto itu sebagai cuba memutar belitkan fakta sebenar berkenaan ucapan Anifah yang telah dijadikan modal kontroversi oleh penyokong-penyokong parti pimpinan Shafie Apdal tersebut. Untuk rekod Jihek Basanu mempunyai pertalian keluarga dengan Presiden Warisan itu. 

"Saya berharap pihak polis serta pihak-pihak berkuasa lain yang berkaitan dapat menyiasat perkara ini secara khususnya berkenaan cubaan Parti Warisan Sabah untuk memberi interpretasi mereka yang tersendiri kepada ucapan Dato' Sri Anifah yang mana adalah fitnah dan laporan mereka itu merupakan satu laporan palsu, dibuat semata-mata demi kepentingan politik," katanya.

Kedua-dua laporan polis itu telah dibuat di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu. Perbuatan menghasut rakyat dengan tuduhan tidak berasas seperti ini dikhuatiri bukan sahaja akan memberi kesan pada kestabilan politik negara, tetapi turut berpotensi memecah belahkan keharmonian rakyat. - Sabahkini2

 

 

 

2 Comments