Mohamad Hasan ‘U-turn’, Dr Jeffrey TKM Sabah setuju Perjanjian Malaysia Baharu
15:07 Jul 06, 2022  |  By SabahKini2
Mohamad Hasan ‘U-turn’, Dr Jeffrey TKM Sabah setuju Perjanjian Malaysia Baharu

Menurut Tokmat dia hanya cadang dan beri pandangan. Selebihnya keputusan pihak terlibat menerokai jalan penyelesaian yang terbaik. Namun bagi Dr Jeffrey TKM Sabah (STAR) sudah lama menyarankan Perjanjian Malaysia baharu antara Sabah, Sarawak dan Malaya.

Selepas beberapa pemimpin Sabah dan Sarawak mempersoalkan cadangan Mohamad Hasan agar Sabah menandatangani Perjanjian Malaysia baharu bagi merealisasikan hak dan tuntutan Sabah akhirnya Mohammad Hasan U-turn bahaya kenyataannya hanya satu cadangan sahaja.

“Saya cuma cadang dan beri pandangan. Segala keputusan terpulanglah kepada pihak-pihak yang terlibat untuk menerokai jalan penyelesaian yang terbaik untuk semua” katanya selepas menerima kritikan seorang menteri Sarawak yang menyifatkannya sebagai ‘gila’.

“Saya percaya bahawa keputusan itu pasti berdasarkan ‘win-win solution’,” katanya

Beliau berkata perjanjian baharu itu perlu ditunjangi semangat, konteks dan aspirasi baharu dalam memugar seterusnya mengembalikan hak serta kepentingan Sabah namun pada masa sama, menguatkan Persekutuan Malaysia.

Cadangan itu dibidas oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Abdul Karim Rahman Hamzah dengan mengatakan bahawa pemimpin politik tidak sepatutnya mengubah perjanjian tersebut hanya untuk kepentingan politik sahaja.

Karim turut menegaskan bahawa perjanjian MA63 adalah dokumen asas yang membawa kepada pembentukan sebuah negara.

Tambahnya, ia tidak boleh ditentukan atau ditukar secara unilateral, hanya kerana BN berkuasa di Sabah sekarang.

Dr Jeffrey setuju Perjanjian Malaysia Baharu

Bagaimanapun Presiden STAR Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan sebaliknya bersetuju dengan Perjanjian Malaysia Baharu  itu.

Katanya Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sudah lama menyarankan Perjanjian Malaysia baharu antara Sabah, Sarawak dan Malaya yang mentakrifkan status setiap entiti dengan jelas.

Dr Jeffrey  berkata Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditandatangani berdasarkan idea yang berbeza dan pada ketika Sabah dan Sarawak tidak mempunyai suara untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengan mana-mana terma dalam perjanjian tersebut.

“Perjanjian baharu adalah satu-satunya pendekatan untuk menangani persoalan Malaysia. Saya gembira kerana Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dato’ Seri Mohamad Hasan menyebut perjanjian baharu, namun saya tidak semestinya bersetuju dengan alasan beliau.

“Bagi STAR, kami mahu perjanjian baharu itu membolehkan kami merdeka dan bebas untuk bergerak ke hadapan. Orang Sabah tidak mahu terikat dengan agenda Malaya.

“Apabila melibatkan isu kewangan dan pembangunan, Sabah dan Sarawak mesti mempunyai kebebasan untuk menentukan masa depan sendiri mengikut aspirasi sendiri, bukan persekutuan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Majlis Kepimpinan Mengenai Isu-Isu Semasa bersama para pemimpin tempatan baru-baru ini

 

 

4 Comments