Operasi Bersepadu banteras penyambungan haram elektrik di Beaufort
15:07 Jul 06, 2022  |  By SabahKini2
Operasi Bersepadu banteras penyambungan haram elektrik di Beaufort

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, penugasan Operasi Bersepadu ini dilancarkan berikutan kejadian penyambungan bekalan elektrik secara haram semakin berleluasa terutamanya di kawasan perkampungan setinggan di

BEAUFORT: Satu Operasi Bersepadu telah dijalankan bagi membanteras penyambungan haram bekalan elektrik di kawasan Daerah Beaufort pada Selasa. (5 Julai)

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, penugasan Operasi Bersepadu ini dilancarkan berikutan kejadian penyambungan bekalan elektrik secara haram semakin berleluasa terutamanya di kawasan perkampungan setinggan di Kg Bakalau, Beaufort.

“Operasi yang bermula pada jam 8 pagi hingga 12 tengah hari itu, sebanyak 50 buah rumah telah dikesan membuat penyambungan elektrik secara haram dan penyambungan tersebut telah dimusnahkan oleh kakitangan teknikal SESB Beaufort,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Operasi Bersepadu tersebut dilaksanakan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Beaufort dengan kerjasama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Beaufort, Polis Bantuan SESB, Majlis Daerah dan Jabatan Air.

“Sepanjang tempoh operasi dijalankan, tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Pihak Pengurusan SESB Daerah Beaufort mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama dan komitmen PDRM IPD Beaufort serta semua yang terlibat dalam menjayakan operasi tersebut,” katanya.

Comment