'Momogun' perlu bersatu untuk terus maju
00:02 Feb 20, 2018  |  By SabahKini2
'Momogun' perlu bersatu untuk terus maju

Tangau (kedua dair kiri) bersama pemimpin Sabah dalam acara Majlis Tahun Baru Cina pada hujung minggu

Seruan perpaduan ini sememangnya bukanlah sesuatu yang baru, katanya, "namun mungkin ia lebih dapat kita rasai sekarang berbanding sebelum ini, kesatuan Momogun adalah sangat penting dalam membolehkan komuniti ini terus berkembang maju di bawah lembayung

KOTA KINABALU: Komuniti Momogun perlu untuk segera memperkukuh perpaduan di kalangan mereka agar tidak tercicir daripada arus perdana pembangunan negara.

"Di mana sahaja saya pergi, jelas dapat dilihat yang rakyat mendahagakan perpaduan. Rakyat inginkan Komuniti Momogun yang lebih bersatu. Kita mestilah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya," kata Ketua Penerangan UPKO, Albert Bingkasan.

"Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina kali ini secara tak langsungnya jelas menunjukkan wujudnya keperluan ini. Ianya jelas dapat dilihat melalui kebanyakan program yang saya hadiri akhir-akhir ini. Kita harus lebih bersatu. Hanya dengan itu barulah kita mampu bergerak seiring bersama-sama dengan seluruh rakyat Malaysia menuju ke arah negara maju, "katanya.

Seruan perpaduan ini sememangnya bukanlah sesuatu yang baru, katanya, "namun mungkin ia lebih dapat kita rasai sekarang berbanding sebelum ini, kesatuan Momogun adalah sangat penting dalam membolehkan komuniti ini terus berkembang maju di bawah lembayung Malaysia."

Bingkasan berkata demikian apabila diminta untuk memberi penjelasan lanjut berkenaan ucapannya di sebuah perjumpaan di Kg Pukak, Kiulu pada hujung minggu.

Katanya, Komuniti Momogun hanyalah kira-kira 30% daripada keseluruhan penduduk Sabah yang berjumlah 3 juta itu, tapi mereka mempunyai begitu banyak parti politik.

"Separuh daripada jumlah itu adalah yang beragama Islam dan oleh sebab itu, kebanyakan daripada mereka berada di bawah jagaan UMNO. Jadi, baki yang tinggal hanya kira-kira 400,000 orang Momogun. Dan dipimpin oleh puluhan pemimpin dari pelbagai ideologi. Bagaimana mungkin untuk kita maju kalau begitu?"

Selain Pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, pemimpin Komuniti Momogun yang lain dalam komponen BN adalah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Tan Sri Joseph Kurup. Manakala di pihak pembangkang pula ialah seperti Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Wilfred Mojilip Bumburing, Datuk Maijol Mahap, Darrel Leiking, Datuk Henrynus Amin, Datuk Seri Lajim Ukin dan Thomas Angan.

UPKO, di bawah pimpinan Tan Sri Bernard Dompok dahulu, pernah cuba bergabung dengan Parti Bersatu Rakyat Sabah dan Parti Bersatu Sabah, namun usaha itu hanya sia-sia.

"UPKO juga pernah mengadakan Majlis Rumah Terbuka Krismas bersama-sama PBRS. Juga masih gagal mencapai kesatuan. Sebagai menyedapkan rasa, mungkin bolehlah kita beranggapan bahawa UPKO, PBRS dan PBS telah bersatu di bawah satu bendera iaitu Barisan Nasional.

"Walau bagaimanapun, apa yang rakyat inginkan sebenarnya adalah untuk kita bersatu di bawah satu parti. Komuniti ini terlalu kecil untuk mempunyai terlalu banyak parti politik. Saya optimis impian ini akan benar-benar menjadi kenyataan. Dalam program-program kami, kami sering laungkan 'Bersatu Misompuru', dan ia bergetar dengan baik," kata Bingkasan.

Beliau berkata, Tangau sering mengingatkan rakyat, bahawa perpaduan adalah kunci kepada kemajuan Malaysia, lebih-lebih lagi bagi komuniti Momogun ini kerana ia adalah cara terbaik untuk maju ke hadapan.

Comment