Kerajaan Sabah Beri Komitmen Pulih Semula Ekonomi Negeri Menerusi Pelan SMJ
21:07 Jul 11, 2022  |  By SabahKini2
Kerajaan Sabah Beri Komitmen Pulih Semula Ekonomi Negeri Menerusi Pelan SMJ

Kesungguhan kerajaan Sabah dapat dilihat menerusi beberapa pencapaian signifikan pada tahun lepas termasuk mencatat kutipan hasil sebanyak RM5.449 bilion, tertinggi dalam sejarah negeri itu.

Kerajaan Sabah akan terus memberi komitmen penuh untuk memulihkan semula ekonomi negeri menerusi inisiatif digariskan dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata kesungguhan kerajaan Sabah dapat dilihat menerusi beberapa pencapaian signifikan pada tahun lepas termasuk mencatat kutipan hasil sebanyak RM5.449 bilion, tertinggi dalam sejarah negeri itu.

“Terdapat banyak lagi pencapaian kerajaan Sabah yang akan memanfaatkan rakyat di negeri ini secara keseluruhannya. Dalam soal membangunkan negeri ini, masih banyak yang perlu kita lakukan,” katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidiladha 1443H/2022.

Hajiji berkata kisah dan sejarah pengorbanan agung Nabi Ibrahim A.S dan anakanda Nabi Ismail A.S menjadi iktibar yang perlu sentiasa dihayati oleh seluruh umat Islam dalam menghadapi cabaran kehidupan seharian.

Bagi umat Islam di Sabah, katanya, iktibar daripada Aidiladha menjadi panduan dalam menghadapi pelbagai cabaran khususnya dalam aspek ekonomi selepas penularan COVID-19.

“Bagi yang akan mengerjakan ibadah korban, tunaikanlah tanggungjawab dengan penuh tawaduk dan ikhlas. Agihkan daging korban kepada mereka yang memerlukan. Semoga melalui ibadah ini akan bertambah kukuh nilai perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah,” katanya. – BERNAMA

2 Comments