Mahkamah Rayuan Paris gantung tuntutan Sulu
13:07 Jul 14, 2022  |  By SabahKini2
Mahkamah Rayuan Paris gantung tuntutan Sulu

Perintah Penggantungan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris pada 12 Julai 2022 tersebut, Final Award tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris berkenaan dengan permohonan pembatalan Final Award y

Mahkamah Rayuan Paris pada 12 Julai telah membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award bertarikh 28 Februari 2022 yang telah dikeluarkan oleh Dr. Gonzalo Stampa (Perintah Penggantungan).

Ia berkaitan tuntutan oleh pihak-pihak yang mendakwa sebagai waris dan successors-in-interest kepada Sultan Jamalul Kiram II melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, asas keputusan Mahkamah Rayuan Paris adalah Final Award tersebut akan menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

“Perintah Penggantungan itu adalah hasil daripada pelbagai tindakan perundangan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia bermula daripada tuntutan tersebut difailkan bagi menamatkan segala tuntutan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

“Oleh itu, kesan daripada Perintah Penggantungan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris pada 12 Julai 2022 tersebut, Final Award tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris berkenaan dengan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia,” katanya.

Berikutan kejayaan mendapatkan Perintah Penggantungan Final Award, Kerajaan sedang membuat persiapan yang rapi untuk pendengaran bagi pembatalan Final Award yang mana tarikh pendengarannya belum ditetapkan.

Katanya, kerajaan juga  akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala tuntutan Sulu dan mempastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

Selain itu, prosiding jenayah terhadap Dr. Stampa yang difailkan oleh Kerajaan Malaysia bagi kesalahan menghina mahkamah di Mahkamah Jenayah di Madrid juga sedang berjalan.

Serentak itu, Wan Junaidi berkata, syarikat Petronas akan mengambil tindakan perundangan terhadap ‘rampasan’ dua asetnya di Azerbaijan berikutan tuntutan yang dibuat oleh waris Sulu.

Wan Junaidi berkata, Petronas perlu mempertahanklan kedudukan kedua-dua syarikat tersebut.

“Pada 11 Julai 2022 dua syarikat subsidiari Petronas di Luxembourg telah dimaklumkan mengenai penguatkuasaan Final Award melalui penyerahan notis yang dikeluarkan oleh Mahkamah Luxembourg.

“Petronas sebagai sebuah syarikat akan mengambil tindakan perundangan yang perlu untuk mempertahankan kedudukannya di bawah undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Junaidi berkata, Malaysia  tidak pernah mengiktiraf tuntutan tersebut dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.

Media sebelum ini melaporkan, aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh waris kesultanan Sulu yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

Peguam pihak yang menuntut dilaporkan merampas aset Petronas yang didaftarkan di Luxembourg, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion.

Peguam berkenaan berkata, bailif di Luxembourg merampas syarikat induk bagi pihak pelanggan mereka.- MG

 

Comment