Sentiasa berintegriti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan – Hajiji
16:07 Jul 14, 2022  |  By SabahKini2
Sentiasa berintegriti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan – Hajiji

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sebagai profesion yang dianggap mulia, masyarakat memandang tinggi terhadap kecekapan, kesiapsiagaan dan pengorbanan pasukan bomba.

KOTA KINABALU: Kecekalan serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pelatih ketika menjalani latihan perlu diamalkan sebaik melaksanakan tugas sebagai seorang pegawai bomba dan anggota penyelamat di lapangan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sebagai perkhidmatan serta profesion yang dianggap mulia, masyarakat memandang tinggi terhadap kecekapan, kesiapsiagaan dan pengorbanan pasukan bomba dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat terpelihara dan terjaga.

“Tradisi dan legasi ini hendaklah diwarisi setiap lapisan warga bomba, khususnya pegawai baharu dalam perkhidmatan.

“Saya percaya latihan yang diperoleh terutama menerusi modul latihan asas Kursus Sijil Sains Kebombaan ini akan mengubah pelatih daripada orang awam kepada kakitangan yang mengamalkan budaya kerja perkhidmatan beruniform melalui pembentukan keperibadian yang unggul, berani dan tidak mementingkan diri.

“Saya mahu agar semua 148 anggota baharu ini akan memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang diperoleh sepanjang latihan untuk menjalankan tugas dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perbarisan Pertauliahan Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2022 di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabah semalam.

Terdahulu Ketua Menteri dianugerahkan pangkat Timbalan Kanan Pesuruhjaya Bomba Kehormat dalam satu Istiadat Penganugerahan Pangkat Kehormat yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Sri Ts Mohammad Hamdan Wahid.

Turut menerima penganugerahan ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Menteri Kewangan II Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang dianugerahkan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Bomba Kehormat.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Sarul Bahiyah Abu dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Abdul Razak Muda.

Dalam pada itu, Hajiji turut menyambut baik usaha JBPM yang mengambil langkah proaktif menempatkan Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) yang mempunyai kepakaran khusus dan kompeten bagi melaksanakan kerja penyelamatan di Gunung Kinabalu.

“Tragedi gempa bumi di Gunung Kinabalu pada tahun 2015 memberikan pengajaran untuk sentiasa bersedia menghadapi bencana seumpamanya dan penubuhan MOSAR adalah satu tindakan yang tepat.

“Berdasarkan kepada statistik penyelamatan MOSAR, sebanyak 26 kes penyelamatan berjaya dilaksanakan oleh pasukan itu bermula Januari hingga Jun tahun ini,” katanya.

Hajiji berkata kecemerlangan sesebuah pasukan atau organisasi adalah berlandaskan tahap disiplin warganya.

Oleh itu katanya, penjawat awam diseru untuk sentiasa mengamalkan integriti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada pasukan bomba dengan khidmat bakti yang dicurahkan oleh Wira Merah dalam menjaga kesejahteraan dan keselamatan nyawa dan harta benda khususnya di Sabah.

Comment