KDNK Sabah rekodkan tumbuh pada kadar positif
15:07 Jul 18, 2022  |  By SabahKini2
KDNK Sabah rekodkan tumbuh pada kadar positif

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, kutipan hasil negeri direkodkan yang tertinggi, sepanjang sejarah penubuhan negeri ini iaitu sejumlah RM5.449 bilion pada 2021.

KOTA KINABALU: Pemulihan ekonomi negeri Sabah buat masa ini kekal berada dalam prospek meyakinkan dengan trend yang lebih baik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, ia dapat dilihat menerusi penunjuk makroekonomi negeri pada 2021 berbanding 2020.

"Di sebalik kelembapan ekonomi yang berlaku di peringkat global disebabkan oleh pelbagai faktor, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah direkodkan tumbuh pada kadar positif iaitu pada kadar 1.1% berbanding penguncupan 9.5% pada tahun sebelumnya berdasarkan laporan awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

"Selain itu, kutipan hasil negeri direkodkan yang tertinggi, sepanjang sejarah penubuhan negeri ini iaitu sejumlah RM5.449 bilion pada 2021.

"Pemberian dividen oleh agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kerajaan negeri terus mencatatkan peningkatan kepada RM116.35 juta pada 2021 berbanding RM100.39 juta pada 2020," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Rubin Balang (BEBAS-Kemabong) mengenai pendekatan kerajaan negeri untuk meningkatkan ekonomi rakyat negeri ini berikutan kelembapan ekonomi global.

Hajiji berkata, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan SMJ 1.0: 2021-2025) adalah pelan jangka panjang iaitu fasa pertama 1.0 untuk tempoh lima tahun, dan akan bersambung pada fasa kedua 2.0 pada lima tahun berikutnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua rakyat negeri ini untuk sama-sama menjayakannya, kerana Hala Tuju SMJ bermatlamat untuk memacu pembangunan yang komprehensif bertunjangkan kekuatan jati diri dan keteguhan semangat patriotisme.

Dalam pada itu katanya, tiga elemen utama dalam Hala Tuju SMJ merangkumi sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan. 

Menurutnya, strategi pemulihan ekonomi melalui perbelanjaan kerajaan untuk memacu aktiviti ekonomi yang memberi nilai berganda dan penglibatan pihak swasta menerusi pelaburan dari luar dan dalam negeri.

"Bagi merealisasi hasrat ini, melalui Belanjawan SMJ bagi 2022 memperuntukkan RM4.596 bilion, yang mana sebanyak RM919.18 juta diperuntukkan untuk pembangunan ketiga-tiga sektor utama pembangunan negeri.

"Sektor pertanian sebanyak RM561.81 juta, sektor perindustrian RM129.97 juta, manakala sejumlah RM227.4 juta diperuntukkan untuk sektor pelancongan," katanya.  

Selain itu jelasnya, setakat ini, sejumlah 20 Memorandum Persefahaman (MoU) atau Memorandum Perjanjian (MoA) ditandatangani bernilai RM47.36 bilion, termasuk enam MoU atau MoA yang dimeterai semasa majlis sambutan setahun Hala Tuju SMJ dengan nilai pelaburan RM19.9 bilion di Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP).

Beliau berkata, PETRONAS juga akan meningkatkan pelaburannya di SOGIP melalui pembinaan loji gas asli cecair (ZLNG) pesisir pantai yang pertama dan terbesar di Sabah bernilai RM8.8 bilion.

Comment