Sabah buat rayuan jika projek pembangunan ditangguhkan atau batal
15:07 Jul 18, 2022  |  By SabahKini2
Sabah buat rayuan jika projek pembangunan ditangguhkan atau batal

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah memerlukan peruntukan yang lebih besar bagi melaksanakan pembangunan infrastuktur dan lain-lain perkara yang membabitkan keperluan rakyat negeri Sabah.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan merayu kepada Kerajaan Persekutuan untuk tidak menangguhkan atau membatalkan projek pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini sekiranya langkah penjimatan dalaman menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia dilaksanakan di peringkat negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah memerlukan peruntukan yang lebih besar bagi melaksanakan pembangunan infrastuktur dan lain-lain perkara yang membabitkan keperluan rakyat di negeri ini.

“Berhubung isu ini, kita belum dimaklumkan mengenai keputusan atau tindakan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan peruntukan projek-projek pembangunan di Sabah. 

“Sabah memerlukan peruntukan yang lebih besar untuk pembangunan infrastuktur dan jika perkara ini sampai ke pihak negeri, kita akan merayu dan minta Kerajaan Persekutuan untuk tidak menangguhkan peruntukan yang sepatutnya diberikan kepada negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (BN-Usukan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Hajiji berkata, negeri ini sering dikatakan tidak mencukupi peruntukan dan jika cadangan penangguhan atau pembatalan projek pembangunan itu dilaksanakan ianya adalah dilihat tidak sesuai.

“Justeru saya memberi jaminan akan cuba merayu kepada Kerajaan Persekutuan jika ada dasar sebegitu. 

“Namun sehingga kita belum menerima mengenai keputusan itu.  Kita akan rayu Kerajaan Persekutuan untuk tidak tangguh sebarang projek-projek pembangunan yang dirancang untuk negeri Sabah,” katanya.

Comment