Hajiji Ketua Menteri yang rapat dengan belia dan anak muda
16:07 Jul 18, 2022  |  By SabahKini2
Hajiji Ketua Menteri yang rapat dengan belia dan anak muda

Hajiji utamakan pembangunan insan di bawah Pelan Hala Tuju SMJ. Banyak program bermanfaat dari lahir sehinggalah dewasa. Pemimpin Belia dan pemimpin pelajar terbela. MPPS dibentuk, Felo SMJ diasah di kementerian malah MBS diperkasakan.

Modal insan pacu pembangunan Sabah

Dibawah kerajaan GRS, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor turut memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan khususnya golongan belia dalam agenda memacu pembangunan negeri Sabah.

Membuktikan Hajiji mengutamakan anak muda ia dimasukkan dalam teras kedua Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu Pembangunan Modal Insan dan Kemakmuran Rakyat.

“Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2022, Sabah merekodkan jumlah populasi belia berusia 15 hingga 40 tahun lebih daripada 50 peratus dalam tahun 2020.  

“Hakikatnya bukan hanya jumlah populasi yang dilihat tetapi,sebagai generasi penting dalam memacu pembangunan pada masa hadapan, golongan belia tidak akan dikesampingkan,” katanya.

Kementerian Belia dan Sukan Sabah- RM95.89 juta

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai program dengan berpandukan tuntutan semasa dan cabaran mendatang.

Ini termasuklah memperuntukkan sebanyak RM95.89 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah dalam Belanjawan 2022 negeri, bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan belia terutamanya dalam program peningkatan kemahiran dan latihan semula.

“Tumpuan kita adalah kepada kebolehpasaran pekerja dan padanan bakat pekerjaan bagi melahirkan golongan belia yang berdaya saing.

“Ini adalah antara usaha kerajaan bagi merealisasikan hasrat belia yang ingin menyumbang kepada pembangunan modal insan, ekonomi serta kesejahteraan sosial di Sabah,” katanya.

RM10 juta perkenal inisiatif SYABAS

Ketika dalam Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 Peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu turut mengumumkan Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) dengan peruntukan RM10 juta untuk anak muda yang mahu memulakan perniagaan.

Menurut Hajiji inisiatif ini melibatkan bantuan kepada usahawan belia dan beliawanis untuk memulihkan perniagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan bantuan memulakan perniagaan. 

“Kerajaan Negeri yang peka dan prihatin dengan isu pengangguran melibatkan golongan belia, telah melancarkan penyerahan bantuan motosikal BizRider300 sebanyak 300 buah motosikal kepada belia di negeri ini melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), pada Khamis lalu.  

“Usaha ini adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran sekali gus memberi peluang pekerjaan dengan melakukan penghantaran makanan dan keperluan harian,” katanya.

Hajiji dan anak muda

Tidak ramai yang tahu Hajiji Ketua Menteri seawal dirinya melantik bekas-bekas pemimpin mahasiswa atau belia menjadi Pegawainya selain pemimpin pemuda parti.

Daripada Setiausaha Sulit Kanan, Pegawai Khas, Setiausaha Politik hinggalah pengarah agensi kerajaan negeri.

Pelantikan Azrul Ibrahim Bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMS 2008/2009 sebagai Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) Jabatan Ketua Menteri (JKM) Sabah membuka hala tuju baru kepada anak muda di Sabah.


Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) - YBhg. Dato' Armizan bin Mohd Ali, Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri Sabah
dan  Azrul Ibrahim Pengarah 
Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR)
Jabatan Ketua Menteri (JKM)


Felo Sabah Maju Jaya

Felo Sabah Maju Jaya langkah kedepan merapatkan anak muda dengan Menteri Kabinet Negeri. Pelaksanaan Felo Sabah Maju Jaya sebuah program menyamai Felo Perdana dicetuskan kerajaan persekutuan tahun 2013 membuka tirai baru di negeri Sabah. Program modal insan ini dimasukkan dalam Belanjawan 2022 menggabungkan Kerjasama Sekretariat Hala Tuju SMJ, Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) dan Majlis Belia Sabah (MBS). 

Hajiji bersama Felo SMJ

Seramai 24 graduan sebagai kumpulan pertama telah dipilih untuk program bimbingan dan pembelajaran langsung selama enam bulan di 12 kementerian di negeri ini, bermula pada bulan Mac lalu.

Majlis Perundingan Pelajar Sabah

Turut dibentuk ialah Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) sebagai platform rasmi pemimpin pelajar Sabah menyuarakan idea kepada kerajaan negeri. 

MPPS menghimpunkan mahasiswa IPTA dan IPTS, politeknik, institut kemahiran, kolej komuniti dan pemimpin pelajar sekolah menengah dalam satu persidangan yang dihadiri pemimpin tertinggi kerajaan negeri bagi mendengar aspirasi mereka.


Hajiji Ketua Menteri mendengar sendiri idea pemimpin pelajar Sabah

MPPS dilaksana inisiatif bersama IKRAR, Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dan MBS.

MPPS merupakan idea sama seperti Majlis Perundingan Pelajar  Kebangsaan (MPPK) yang dibentuk kerajaan persekutuan sejak 2001. MPPK bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi manakala MPPS bawah Menteri Tugas-tugas Khas JKM.

Program pertamanya pada bulan Mei lalu dihadiri sendiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Haji Hajiji Mohd Noor.  

Apakah hasilnya dari Persidangan MPPS?  Ketua Menteri sendiri mengiktiraf cadangan pemimpin pelajar dalam MPPS.

  1. MPPS akan diinstitusikan sebagai acara tahunan yang akan dipengerusikan oleh YB Menteri Tugas-Tugas Khas.

  2. Semua usul yang dibentangkan perlu didokumentasikan secara rasmi dalam bentuk Nota Kabinet dan dibentangkan untuk makluman Jemaah Menteri dan seterusnya disusul dan diteliti oleh setiap Kementerian dan agensi berkaitan.

Selain itu, semua usul serta cadangan ini akan diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri.


Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dan Inisiatif lain.

Kerajaan negeri melalui Kumpulan Yayasan Sabah telah meluluskan penubuhan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang mendapat dana daripada badan-badan korporat serta swasta bagi membantu meringankan beban anak-anak Sabah.

Menurut Ketua Menteri Penubuhan TPNS ini adalah untuk mengumpul dana bagi membolehkan lebih banyak peluang tajaan dapat disalurkan kepada anak-anak Sabah B40 yang berjaya masuk ke institusi pengajian tinggi.

 

 

Dalam Belanjawan Negeri 2022, pelbagai insentif diberikan bagi memperkasa pendidikan termasuk TPNS, merupakan satu daripada 'touch point' Belanjawan 2022 Negeri Sabah. RM55 juta disalurkan. Manakala inisiatif Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) dengan peruntukan sebanyak RM5 juta turut diberi bagi galakan menabung bagi tujuan pendidikan anak sejak awal kelahiran melalui pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Lain-lain ialah RM24 Juta untuk Program Bantuan Institusi Pengajian Tinggi, Program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Program Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Program Bantuan Wang Pendaftaran IPT (BUDI) dan RM35 Juta dan melaksanakan program-program bantuan pendidikan baru

 

Majlis Belia Sabah

Hajiji tidak dapat dipisahkan dengan Majlis Belia Sabah (MBS) badan belia penting di Sabah. Banyak program kerajaan dijayakan dengan MBS seperti program disebutkan di atas.

Hajiji meluluskan Geran kepada Majlis Belia Sabah (MBS) dan 17 gabungannya bagi menggerakkan program pembangunan belia dan menyelaraskan aktiviti sokongan dalam tempoh Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Platftorm anak muda seperti MPPS dan Felo Sabah Maju Jaya forum dalam Majlis Perundingan Belia Sabah turut diberi perhatian oleh Ketua Menteri dan Kementerian Belia Sukan Sabah

 

Sokongan PM kepada anak muda

Oleh itu  sokongan YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakub kepada anak muda ketika melancarkan Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 Peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran pastinya disambut baik.

Pelbagai insentif, program malah janji melantik wakil Majlis Belia sebagai senator mendapat reaksi positif.

Bagi Hajiji Ketua Menteri beliau mahu golongan belia perlu lebih menonjol, dinamik dan proaktif serta bercita-cita untuk melangkaui sempadan tempatan. Terokai peluang, luaskan kemahiran anda,memupuk kreativiti dan berfikir secara kritis. Semua ini adalah antara kemahiran yang diperlukan untuk menjadi generasi yang cekap dan berdaya tahan.

Beliau juga berterima kasih kepada semua warga belia selaku aset penting untuk negara, yang sentiasa bersama-sama kerajaan dalam membangunkan negeri ini dan negara.

“Semoga semua warga belia terus menyerlah menjadi belia yang berdaya saing dan dapat memberi sumbangan dalam menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Kerajaan juga akan sentiasa mengiktiraf sumbangan, pencapaan, usaha dan suara seluruh warga belia”, katanya.

Lebih 5,000 warga belia berkumpul di Tuaran bagi meraikan sambutan Hari Belia Negara 2022, dengan tema tahun ini “Ini Masa Kita”.

Kepada kempen undi 18 Hajiji Ketua Menteri sedang melakukan perkara yang betul untuk anak muda. 

 

 

22 Comments