Kaji bina lapangan terbang Kimanis tidak dikenakan kos
14:07 Jul 20, 2022  |  By SabahKini2
Kaji bina lapangan terbang Kimanis tidak dikenakan kos

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, anak syarikat kerajaan negeri iaitu Qhazanah Sabah Berhad (QSB) juga tidak membayar sebarang kos untuk terlibat dalam menjalankan kajian berkenaan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang kos kewangan kepada syarikat Berjaya Land Berhad (BLB) untuk menjalankan kajian terperinci mengenai cadangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangasa Kota Kinabalu (LTAKK) baharu di Kimanis.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, anak syarikat kerajaan negeri iaitu Qhazanah Sabah Berhad (QSB) juga tidak membayar sebarang kos untuk terlibat dalam menjalankan kajian berkenaan.

Katanya, biarpun syarikat QSB tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam perkara berkaitan pembinaan lapangan terbang, namun perlu ada penglibatan syarikat berkenaan untuk kepentingan kerajaan melalui anak syarikatnya.

Selain itu jelasnya, walaupun syarikat BLB tidak berpengalaman secara menyeluruh, pihaknya yakin syarikat terbabit akan menjalankan libat urus dengan perunding sama ada dari luar atau dalam negeri yang berpengalaman dalam pembangunan lapangan terbang.

"Kita bersetuju untuk melantik syarikat ini kerana kita yakin mereka ada pengalaman dalam hal seumpama ini.

"Tetapi dalam kajian ini, kita juga perlu satu anak syarikat kerajaan negeri untuk terlibat walaupun QSB tiada pengalaman," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) mengenai kos yang dikeluarkan kerajaan untuk melantik kedua-dua syarikat berkenaan dan latar belakang keupayaan pihak terbabit dalam pembinaan lapangan terbang bertaraf antarabangsa.

Sementara itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, kajian terperinci mengenai cadangan pembangunan LTAKK baharu di Kimanis dijalankan sebelum ia dibawa kepada perhatian Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) untuk pertimbangan selanjutnya.

Menurutnya, statistik pergerakan penumpang di LTAKK pada 2019 iaitu semasa tempoh pra COVID-19 mencatatkan sebanyak 9.4 juta penumpang setahun iaitu melebihi kapasiti sebenar iaitu 9 MPPA (million passengers per annum).

Bagaimanapun katanya, penularan wabak COVID-19 memberi kesan yang ketara terhadap aliran trafik penumpang di LTAKK menjadikan jumlah penumpang pada 2020 menurun dengan drastik kepada 2.3 MPPA, manakala pada 2021 menurun lagi kepada 2.1 MPPA.

"Negeri Sabah mempunyai potensi yang amat besar dalam sektor pelancongan. Aliran trafik pasti akan meningkat dari semasa ke semasa. Pembangunan Bandaraya Kota Kinabalu yang pesat mungkin tidak dapat menampung keperluan menaik taraf lapangan terbang sedia ada di masa hadapan. 

"Kita juga harus melihat kajian yang bakal dijalankan ini secara positif dengan mengambil contoh penempatan semula lapangan terbang Subang ke Sepang.

"Sekiranya hasil kajian mendapati projek ini berdaya maju untuk dilaksanakan, diharap ia akan membawa kesan limpahan kepada pembangunan Kimanis dan kawasan sekitarnya. 
 
"Kerajaan negeri percaya kajian yang akan dilaksanakan mengambilkira konsep 'evidence-based planning' dalam perancangan dan pembangunan sektor pengangkutan bagi memenuhi keperluan pasaran," jelasnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang) berhubung rancangan terperinci yang dijalankan kerajaan membabitkan pemindahan LTAKK ke kawasan Kimanis.

Menurutnya, ia termasuklah memuktamadkan sama ada projek berkenaan berdaya maju (viable) dan berdaya tahan (resilient).

Comment