3 Kontraktor tipu invois RM882,560.00 Projek Community Drumming KPDNHEP didakwa
16:07 Jul 22, 2022  |  By SabahKini2
3 Kontraktor tipu invois RM882,560.00 Projek Community Drumming KPDNHEP didakwa

‘Projek Community Drumming’ di pedalaman untuk bantu rakyat luar bandar. Pembekal, pengedar hantar minyak dalam drum untuk pasarkan bahan api kepada penduduk di luar bandar. Tapi....

Tiga kontraktor telah didakwa di mahkamah atas tiga pertuduhan memalsukan tuntutan invois bernilai RM882,560 di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini.

Mereka ialah Junaidi Juling, 35, Sainal Tamin, 47, dan Mohd Rahmad Ambotou, 33, mengaku tidak bersalah ke atas tiga pertuduhan yang dibaca di hadapan hakim Abu Bakar Manat.

Menurut fakta kes, ketiga-tiga tertuduh telah mengemukakan invois palsu berkaitan tuntutan bayaran kos pengangkutan bagi projek untuk tempoh tiga bulan iaitu daripada September hingga November 2019.

Mereka mengemukakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu resit-resit Copy Of Invoice PSS Keningau 2 kepada Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah di Daerah Keningau untuk menipu iaitu menuntut bayaran Kos Pengangkutan Untuk Projek Community Drumming di Bahagian Keningau bagi Zon / Kawasan Pengedaran Pagalungan bagi tempoh kontrak 01 April 2019 hingga 31 Disember 2019. Rujuk Fail kes

 

 

Tiga pertuduhan telah dikenakan kepada mereka kesemuanya bernilai RM882,560.00.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Tiada pengakuan diterima dari ketiga-tiga tertuduh, oleh itu mahkamah memerintah ikat jamin kepada tertuduh, masing-masing RM30,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes terhadap ketiga-tiga tertuduh pada 20 September ini.

‘Projek Community Drumming’ di pedalaman 

Kes berlaku pada  tahun 2019.  Kerajaan Pusat pada tahun ini memperuntukkan RM45 juta untuk pelaksanaan program Community Drumming bagi memastikan barangan keperluan di kawasan pedalaman negeri ini mencukupi dengan harga diseragamkan meliputi 66 zon dan 700 Pusat Jualan (POS).

Penjualan dan pembelian minyak menggunakan drum, jerry can dan botol oleh penduduk di kawasan pedalaman dan tanah tinggi adalah satu amalan rutin. Penduduk membeli dari penjual tanpa lesen di kampung-kampung, di tepi jalan atau tepi sungai pada harga yang lebih tinggi berbanding penduduk di kawasan bandar.

Harga jualan adalah berbeza dan lebih tinggi, mengikut topografi dan infrastruktur kawasan disebabkan oleh kos logistik yang tinggi disebabkan tiada skala ekonomi untuk mengangkut minyak dari kawasan bandar ke pusat penjualan sediakala di luar Bandar melainkan melalui pengangkutan awam seperti bas dan kereta sapu.

Pelaksanaan ‘Projek Community Drumming’ melibatkan KPDNHEP melantik syarikat pembekal atau pengedar untuk memasarkan terus minyak dalam drum kepada pengusaha ‘drumming’ atau ‘Point of Sales’ (POS) di kawasan yang telah dikenalpasti sesuai dan perlu memasarkan bahan api tersebut kepada penduduk di luar bandar pada kadar harga ‘Pump Price’ atau stesen minyak.

Bagaimanapun banyak kes kontraktor tidak jujur menipu tuntutan Kos Pengangkutan Untuk Projek Community Drumming dengan invois palsu kepada KPDNHP Daerah. Dalam kes ini hampir RM1 juta dirembat oleh 3 kontraktor ini. Bayangkan jika kes seperti ini tidak ditangkap pastinya yang rugi ialah rakyat jua. 

Comment