Masuk secara haram, 4 warga asing ditahan
14:07 Jul 25, 2022  |  By SabahKini2
Masuk secara haram, 4 warga asing ditahan

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, semua warga asing berkenaan disyaki baharu tiba dari negara jiran dan sedang bersembunyi di Kilang Batu berhampiran kampung tersebut.

TAWAU: Empat lelaki warga asing yang dipercayai masuk ke negara ini secara haram berjaya ditahan pasukan Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) di Kampung Batu Payung, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu, semua warga asing berkenaan disyaki baharu tiba dari negara jiran dan sedang bersembunyi di Kilang Batu berhampiran kampung tersebut.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, maklumat berhubung kemasukan warga asing itu diterima daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batu Payung.

Katanya, susulan itu, pasukan QRF yang menjalankan rondaan Op Benteng berjaya mengesan semua suspek sedang bersembunyi di lokasi kejadian.

“Mereka terdiri empat lelaki berumur 18 hingga 24 tahun dan semua suspek terbabit ditahan untuk menjalani pemeriksaan awal dokumentasi.

“Hasil pemeriksaan mendapati, semua suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, tiada permit kerja dan cop pengesahan kebenaran masuk ke negeri Sabah,” katanya semalam.

Menurutnya, semua warga asing terbabit mengaku masuk ke negara ini secara haram menggunakan laluan yang tidak diwartakan dan bertujuan untuk bekerja.

“Semua suspek terus dibawa ke Balai Polis Sri Indah, Tawau untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Abdul Karim menzahirkan ucapan tahniah kepada semua anggota pasukan keselamatan yang bertugas dan JKKK Kampung Batu Payung atas kejayaan ini.

“Kerjasama yang erat diantara agensi-agensi penguatkuasaan membuktikan fungsi dan peranan pasukan keselamatan dalam menjamin keselamatan Perairan Pantai Timur Sabah ditahap yang terbaik.

“ATB 2 akan sentiasa mempertingkatkan jaringan kerjasama secara berterusan dengan pelbagai agensi dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan dari terus berlaku,” katanya.

Comment