Guna teknologi AI dan IoT, UMS bangunkan loji mini rawatan air
15:07 Jul 25, 2022  |  By SabahKini2
Guna teknologi AI dan IoT, UMS bangunkan loji mini rawatan air

Ketua projek, Dr. Kawi Bidin berkata, dengan adanya teknologi AI dan IoT, kebergantungan kepada tenaga manusia bagi memastikan loji berfungsi secara berterusan setiap hari dapat dikurangkan.

PITAS: Para penduduk di Pitas kini boleh menikmati air bersih terawat sekitar 60,000 liter setiap hari menerusi pembangunan tiga mini loji rawatan air di daerah itu.

Pembangunan yang dijayakan oleh sekumpulan penyelidik dari Fakulti Sains dan Sumber Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menggunakan teknologi Artificial Intelligent (AI) serta Internet of Things (IoT) dalam usaha memantau proses rawatan air di setiap loji yang berkaitan.

Ketua projek, Dr. Kawi Bidin berkata, penggunaan AI dan IoT itu membolehkan pihaknya memantau dan mengawal proses kitaran rawatan air hanya melalui jarak jauh memandangkan kedudukan setiap loji mini tersebut berada jauh di pedalaman.

“Untuk fasa pertama implementasi AI dan IoT ini, pihak kami telah membangunkan dan memasang sistem pelayan bagi memudahkan penduduk kampung untuk memanfaatkan sumber air terawat dengan menyediakan sistem dispenser air secara automatik.

"Kemudian proses seterusnya adalah membuat pengawasan dan kawalan secara jarak-jauh (remote) bagi memastikan kitaran rawatan air dijalankan secara optimum dan tepat iaitu termasuklah memantau kadar pengepaman air, suntikan klorin serta bahan kimia rawatan, dan kawalan motor semasa kitaran pemendapan bahan terampai," terangnya.

Tambah beliau, bayaran yang dikenakan bagi setiap liter penggunaan air terawat adalah pada kadar yang paling minimum dan ia adalah bertujuan untuk menanggung kos penyelenggaraan loji demi kelangsungan projek pada masa akan datang.

"Dengan adanya teknologi seperti ini, kebergantungan kepada tenaga manusia bagi memastikan loji berfungsi secara berterusan setiap hari dapat dikurangkan," ujarnya.

Mini loji rawatan air ini terletak di Kampung Pengkalan Mengkapon, Kampung Pituru Timbang Taun dan terbaru dibawah geran Malaysian Social Innovation (MySI) berada di Kampung Mengkapon.

Projek loji mini rawatan air di Kampung Mengkapon yang bermula sejak 2019 tersebut merupakan inisiatif pihak UMS bersama Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah melalui dana yang disumbangkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Program Inisiatif Inovasi Sosial Malaysia (MyIS Komuniti).

Comment