4 premis jual pendrive dan ‘SanDisk’ tiruan di serbu
14:07 Jul 27, 2022  |  By SabahKini2
4 premis jual pendrive dan ‘SanDisk’ tiruan di serbu

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, hasil serbuan 4 premis berjaya menyita 1,479 unit pendrive serta ‘SanDisk’ tiruan bernilai RM41,376.50.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah berjaya merampas pemacu mudah alih (pendrive) serta kad memori dipercayai tiruan dalam serbuan empat premis sekitar sini.

Pengarahnya Georgie Abas berkata pihaknya juga mencatatkan nilai rampasan mencecah RM41,376.50 sepanjang serbuan pada 26 Julai lalu.

“Bertindak dengan maklumat, 10 anggota penguatkuasa KPDNHEP yang dibahagikan kepada dua pasukan bersama lima orang wakil pemilik cap dagang berdaftar untuk jenama terkenal bagi pemacu mudah alih dan kad memori itu menjalankan serbuan di empat premis yang didapati menjual barangan tiruan terbabit.

“Hasil serbuan berjaya menyita 1,479 unit pemacu mudah alih (pendrive) serta kad memori tiruan bernilai RM41,376.50,” katanya semalam.

Beliau berkata keempat-empat pemilik premis perniagaan terbabit dipercayai melakukan kesalahan mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

“Kes akan disiasat mengikut seksyen 102(1), (b) dan (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah. 

“Sekiranya sabit kesalahan pesalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi pertubuhan perbadanan pula pesalah boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan,” katanya.

Georgie berkata kementeriannya akan terus menguatkuasakan undang-undang mengikut Akta Cap Dagangan 2019 bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran. 

Beliau juga mengingatkan peniaga agar lebih bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan. 

Tambahnya pengguna turut dinasihati tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya.

Comment