Polis nafi dakwaan NGO MHO wujud gerakan rekrut rakyat Sabah sertai Kumpulan Sulu
09:07 Jul 29, 2022  |  By SabahKini2
Polis nafi dakwaan NGO MHO wujud gerakan rekrut rakyat Sabah sertai Kumpulan Sulu

Tidak wujud sebarang gerakan merekrut rakyat Filipina serta Sulu kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah. Yang ada kumpulan keluarkan dokumen diri Sulu Sultaniyah Darul Islam (SSDI) untuk dapat bayaran tertentu.

Polis Sabah mengesahkan tidak wujud sebarang gerakan merekrut rakyat Filipina yang berada di negeri ini bagi menyertai Kumpulan Sulu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, perkara itu disahkan melalui siasatan dan risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah susulan isu tular mengenai dakwaan waris Kesultanan Sulu sedang aktif merekrut rakyat di Lahad Datu bagi menyokong gerakan kumpulan berkenaan.

 

Gerakan Sulu: Individu perseorangan ambil kesempatan

Walau bagaimanapun, pihak polis sedang menjalankan siasatan berkaitan kumpulan yang mengeluarkan dokumen diri Sulu Sultaniyah Darul Islam (SSDI) dengan mengenakan bayaran tertentu.

“Kami percaya kumpulan ini merupakan individu perseorangan yang cuba mengambil kesempatan untuk keuntungan peribadi.

“Justeru, PDRM ingin mengingatkan mana-mana pihak atau individu agar tidak menyebarkan sebarang berita atau maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO, Datuk Hishammudin Hashim memaklumkan terdapat gerakan merekrut rakyat tempatan yang berada di Lahad Datu bagi menyokong Kumpulan Sulu. Penyelaras MHO Sabah Jerry Jaimeh juga telah membuat membuat laporan polis bagi menggesa pihak keselamatan menyiasat dakwaan itu.

Menurut Hishammudin Hashim lagi modus operandi dijalankan dengan memberikan dokumen pengenalan diri yang dipercayai bagi Kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu penduduk Sabah kepada Kesultanan Sulu.

“Hantaran WhatsApp tersebut yang mengandungi gambar yang berbentuk seakan dokumen identiti diri bagi Kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada Kesultanan Sulu. 

“Gambar-gambar tersebut mengandungi dokumen identiti diri yang tertulis, ‘Karna’ agama Islam bangsaku baugbugan, hula’ku kalasahan’ dan ‘Sultan Bantilan Muhammad Muizuddin II Bin Datu Wasik – Aranan’. Terdapat juga cap jari kanan dan kiri pemilik dokumen identiti tersebut. 

“Selain itu, dokumen identiti diri yang tertulis, ‘Sulu Sultaniyah Darul Islam tanda’ karaayatan tausug’, maklumat pemilik dokumen diri dan nombor pengenalan diri; dan dokumen identiti diri yang tertulis, ‘Soolo (Sulu) Sultanate Darul Islam Nation (Tausug Nation Identification Card), maklumat pemilik dokumen diri dan nombor pengenalan diri. 

“Gambar tersebut juga mengandungi, dokumen identiti diri yang tertulis, ‘Karayatan Tausug Citizen (Sin Sultaniyah Sooloo Darul Islam)’, cap jari kanan dan kiri pemilik dokumen tersebut dan nombor pengenalan; dokumen yang tertulis ‘Soolu (Sulu) Sultanate Darul Islam’ dan ‘Birth Certification’; dan gambar yang menunjukkan seakan dokumen perakuan taat setia kepada Kesultanan Sulu,” katanya dalam satu kenyataan

Jika dakwaan MHO ini tidak benar atau palsu PDRM wajar menyiasat Setiausaha Agungnya  Datuk Hishammudin Hashim yang dilihat banyak membantu demo-demo warga asing, stateless dan tahanan-tahanan PTI didepoh Jabatan Imigresen Malaysia.

 

Comment