Marceeta berkata beliau agak kecewa dengan pencapaian tersebut kerana sasaran peribadinya adalah untuk memperbaiki angkatan yang dilakukan ketika Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada Mei lepas.
BIRMINGHAM: Atlet angkat berat wanita negara, Marceeta Marlyne Marcus, yang membuat penampilan kedua pada temasya Sukan Komanwel, sekadar menduduki tempat kesembilan pada edisi Birmingham 2022 di Pusat Pameran Nasional (NEC), di sini, pada Ahad.
Atlet berusia 24 tahun dari Tambunan, Sabah, itu hanya melakukan angkatan bebanan keseluruhan 175 kilogram (kg) selepas merekodkan angkatan snatch 73kg dan 102kg bagi clean jerk dalam kategori 59kg.
Pingat emas dimenangi atlet Nigeria, Rafiatu Folashade Lawal yang melakukan angkatan keseluruhan 206kg, yang merupakan rekod baharu temasya, manakala perak dan gangsa milik peserta tuan rumah Jessica Gordon-Brown (197kg) dan Tali Darsigny (196kg) dari Kanada.
Ketika penampilan sulung pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia, Marceeta menduduki tempat ke-11.
Marceeta berkata beliau agak kecewa dengan pencapaian tersebut kerana sasaran peribadinya adalah untuk memperbaiki angkatan yang dilakukan ketika Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada Mei lepas.
“Tidak ok (pencapaian hari ini)..saya baru sembuh daripada demam sejak tiba di sini pada Ahad lepas (24 Julai). Saya kecewa kerana mahu melakukan angkatan 80kg untuk snatch dan 110kg bagi clean jerk,” katanya.
Pada temasya di Hanoi, Marceeta merekodkan angkatan 73kg bagi snatch dan 105kg untuk clean jerk, sekali gus menduduki tempat kelima.