Jawatan PM perlu ada had tempoh masa
14:08 Aug 01, 2022  |  By SabahKini2
Jawatan PM perlu ada had tempoh masa

Ketua Penerangan BERSATU Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, jawatan PM perlu ada had, sebagaimana di Sabah yang mana cadangan sudah disampaikan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa jawatan Ketua Menteri adalah bagi dua penggal sahaja.

KOTA KINABALU: Tempoh masa bagi jawatan Perdana Menteri perlu mempunyai had bagi mengelakkan berlaku salah guna kuasa.

Ketua Penerangan BERSATU Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, jawatan PM perlu ada had, sebagaimana di Sabah yang mana cadangan sudah disampaikan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa jawatan Ketua Menteri adalah bagi dua penggal sahaja.

“Hal yang sama juga perlu bagi jawatan PM, kerana PM dan KM adalah pemimpin tertinggi dalam negara dan negeri, wajar jawatan pemimpin tertinggi ini ada limitasi masanya kerana kita mahu mengelakkan salah guna kuasa, kualiti perkhidmatan kepada rakyat perlu dijaga serta diutamakan.

“Jika tidak ada had, tidak ada limit, sudah tentu kepimpinan dan idea-idea baharu dari pemimpin-pemimpin baharu akan terbantut, terhalang, tidak dapat direalisasikan, lebih teruk lagi, pelbagai impak negatif turut akan timbul kelak yang mana ianya akan memburukkan nama serta sistem pemerintahan dalam negara kita sendiri,” katanya hari ini.

Beliau berkata, perkara itu penting untuk lebih pragmatik untuk negara, praktikal dan realistik kerana secara logiknya.

Katanya, seseorang akan mempunyai tempoh tertentu dalam mengendalikan atau melakukan sesuatu, akan ada masanya apabila prestasi atau hasil akan mulai terjejas apabila sudah melepasi tempoh masa yang terlalu lama.

“Misalnya aspek pemerintahan, pegang jawatan, apabila terlalu lama seseorang itu berada pada posisi tertentu, pasti akan timbul masalah seperti salah laku, biarpun mungkin ada juga yang konsisten dan kekal cemerlang dalam memikul tanggungjawab dipegang,” katanya.

Menurutnya, rakyat secara realitinya kini susah untuk meletakkan kepercayaan kepada ahli politik yang memegang jawatan dan kuasa besar.

“Dalam negara kita timbul pelbagai isu dan kita sedar adakalanya ini diluar kawalan, misalnya kini usaha kita untuk bangkit dan pulihkan ekonomi selepas jatuh serta merosot teruk akibat daripada pandemik COVID-19.

“Namun, dalam masa yang sama, pelbagai tragedi dan peristiwa melibatkan aktor politik kita juga berlaku, di mana ini menjadi satu kebimbangan kepada rakyat di akar umbi.

“Rakyat susah, bergelut untuk memperoleh pendapatan, sesuap nasi untuk keluarga, tetapi aktor politik seakan-akan tidak terjejas, inilah yang saya nyatakan tadi ada masa dan ada had yang perlu ditetapkan untuk sesuatu tempoh bagi kepimpinan, kita ingin satu mekanisme wujud bagi mengekang permasalahan sebegini,” katanya.

Katanya, sekiranya tiada mekanisme baharu dilaksanakan, tidak mustahil akan timbul pelbagai masalah di masa depan yang pastinya beban kepada negara dan rakyat.

“Kita perlu turun ke bawah, lihat dan dengar keluh kesah rakyat, banyak perkara perlu diselesaikan serta dilakukan untuk rakyat kita secara keseluruhan.

"Kini bukan masanya lagi untuk kita dengar dan menjadi topik perbualan negara-negara luar, tentang keburukan dan masalah politik negara yang seolah-olah tidak mengendahkan masalah rakyat. Kita perlu bertindak segera,” katanya.

Comment