Sabah beri peruntukan RM2.3 Juta untuk NGO
15:08 Aug 02, 2022  |  By SabahKini2
Sabah beri peruntukan RM2.3 Juta untuk NGO

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmy Yahya berkata, peranan yang dimainkan oleh NGO seiring dengan usaha kementerian dalam membina masyarakat prihatin dan bertanggungjawab.

SANDAKAN: Sabah memperuntukan sebanyak RM2.3 Juta geran untuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tahun ini bagi meningkatkan gerak kerja sukarelawan dan kebajikan mereka.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmy Yahya berkata, peruntukan itu disalurkan melalui Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS).

Katanya, kementeriannya sangat menghargai usaha, jasa dan sumbangan yang diberikan oleh NGO terutamanya bagi membantu masyarakat di negeri ini.

“Peranan yang dimainkan oleh NGO seiring dengan usaha kementerian yang saya pegang dalam membina masyarakat prihatin dan bertanggungjawab.

“Kementerian melalui MPMS memang ada peruntukan dana untuk NGO yang menjalankan kebajikan di negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis makan malam bersama pertubuhan sukarela kebajikan dan pelancaran program makanan kanak-kanak fasa dua, di sini semalam.

Menurutnya, kementerian mempunyai formula untuk mengagihkan jumlah dana kepada NGO yang berdaftar dengan MPMS.

“Justeru, NGO yang belum berdaftar dengan MPMS diminta supaya memohon secara online untuk aktiviti kebajikan samada di peringkat daerah ataupun negeri.

“Permohonan NGO akan diproses dan disemak, sekiranya memenuhi kriteria barulah geran tersebut diberikan,” katanya.

Shahelmy berkata inisiatif itu adalah salah satu usaha kementeriannya bagi menjalinkan hubungan dan perkongsian strategik bersama NGO.

“Kita mengharapkan kerajaan dan NGO bekerjasama supaya perkhidmatan sosial kebajikan dapat berkembang dengan lebih luas lagi.

“Saya menyeru kepada semua NGO di negeri ini supaya memohon dan menggunakan geran berkenaan dengan sebaiknya,” katanya.

 

1 Comment