3 kontena minuman keras bernilai RM1.57 juta dirampas JKDM
16:08 Aug 05, 2022  |  By SabahKini2
3 kontena minuman keras bernilai RM1.57 juta dirampas JKDM

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Julaiman Soimin, berkata, kejayaan hasil pemeriksaan dibuat menerusi mesin pengimbas terhadap ketiga-tiga kontena berkenaan.

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah mematahkan cubaan menyeludup tiga kontena minuman keras dalam pemeriksaan di Pelabuhan Sepanggar, di sini, 29 Julai lalu.

Dalam operasi jam 10.50 pagi itu, 9,000 kotak minuman keras dianggarkan bernilai keseluruhan RM1.568 juta termasuk cukai.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Julaiman Soimin, berkata, kejayaan hasil pemeriksaan dibuat menerusi mesin pengimbas terhadap ketiga-tiga kontena berkenaan.

Katanya, kesemua kontena diisytiharkan sebagai barang dagangan lain termasuk tisu dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, hasil imbasan imej yang meragukan, semua kontena berkenaan didapati berisi minuman keras yang dianggarkan bernilai RM658,000 dan membabitkan jumlah cukai RM910,000 juta.

“Setakat ini, tiada sebarang tangkapan berjaya dilakukan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya.

Julaiman berkata, JKDM Sabah amat komited dalam usaha menangani sebarang aktiviti yang membabitkan penyeludupan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat dengan jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.

Comment