Indeks Persepsi Rasuah 2017: Tindakan agresif SPRM bantu skor CPI Malaysia
00:02 Feb 23, 2018  |  By SabahKini2
Indeks Persepsi Rasuah 2017: Tindakan agresif SPRM bantu skor CPI Malaysia

Kalau kita lihat, SPRM begitu agresif dalam mengekang rasuah di negara ini. Beberapa kes melibatkan dana rakyat dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam kanan telah disiasat dan dituduh.

KUALA LUMPUR: Tindakan agresif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membendung rasuah sedikit sebanyak membantu Malaysia dalam capaian kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017.

Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar berkata tindakan itu merangkumi tangkapan dan pendakwaan yang membawa tertuduh ke muka pengadilan.

“Kalau kita lihat, SPRM begitu agresif dalam mengekang rasuah di negara ini. Beberapa kes melibatkan dana rakyat dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam kanan telah disiasat dan dituduh.

“Kita boleh nampak seperti beberapa kes melibatkan Felda, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah serta beberapa lagi,” katanya dalam sidang media pengumuman CPI 2017 di sini hari ini.

Justeru, SPRM dan Jabatan Peguam Negara perlu lebih agresif dan tidak memilih kes dalam melakukan siasatan dan pendakwaan.

"Kita di TI-M amat mengharapkan supaya SPRM lebih agresif dengan melakakukan tangkapan dan siastan terperinci sekaligus membendung rasuah.

"Malah, Jabatan Peguam Negara juga perlu melakukan pendakwaan tanpa memilih kes-kes tertentu sahaja," katanya.

Malaysia merosot dalam kedudukan CPI 2017, daripada tangga 55 kepada 62 daripada 180 buah negara.

Menurut indeks yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI), ukuran skor Malaysia juga merosot kepada 47 berbanding 49 pada tahun lalu. Ini menunjukkan penurunan skor dua markah dan tujuh anak tangga berbanding tahun 2016.

Di peringkat ASEAN, Malaysia berada di kedudukan ketiga selepas Singapura yang menduduki tangga keenam dunia dan Brunei di tangga ke-32.

Di peringkat negara-negara Islam, Malaysia menduduki tangga kelima. Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendahului senarai negara Islam dengan menduduki tangga ke-22 dunia diikuti Qatar (29), Brunei (32) dan Arab Saudi (57).

AA

Comment