KKM selesaikan 80% kes tertunggak di Sabah
15:08 Aug 09, 2022  |  By SabahKini2
KKM selesaikan 80% kes tertunggak di Sabah

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Rose Nani Mudin berkata, pihaknya terus berusaha menyelesaikan kes pembedahan yang tertunggak di setiap hospital di negeri ini.

TAWAU: Lebih 80 peratus kes rawatan membabitkan pembedahan yang tertunggak di Sabah sudah diselesaikan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Rose Nani Mudin berkata pihaknya terus berusaha menyelesaikan kes pembedahan yang tertunggak di setiap hospital di negeri ini.

Katanya, JKNS yakin kes tertunggak itu dapat diatasi dengan secepatnya dan pelbagai usaha telah dilakukan untuk menyelsaikan masalah ini.

“Semua bilik-bilik pembedahan di setiap hospital pakar telah dibuka semula, malah setiap hari Sabtu dan hujung minggu juga akan dijalankan rawatan membabitkan pembedahan.

“Dengan adanya usaha ini, sudah pasti baki rawatan tertunggak akan terus berkurangan dan ia dapat diatasi dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui dalam ‘Program Mass Cleft Surgery Initiative 2022,” hari ini.

Menurutnya, program pembedahan secara beramai-ramai yang dilakukan oleh JKNS di hospital terpilih juga adalah langkah proaktif bagi mengatasi masalah kes tertunggak.

“Sebelum ini, kita sudah mengadakan pembedahan mata dan umum dengan kerjasama pakar bedah dari pelbagai hospital di negara ini,” katanya.

Mengulas mengenai program ini, katanya, ia dilakukan bagi mengatasi kes tertunggak pembedahan klef bibir dan lelangit di daerah Tawau serta sekitarnya yang mencecah 70 orang kanak-kanak.

Dalam pada itu, Rose berkata, kes klef bibir dan lelangit akan sentiasa berlaku kerana satu daripada 700 kelahiran di Malaysia akan mengalaminya.

“Kita mengharapkan ibu bapa yang mempunyai anak mengalami klef bibir dan lelangit diminta untuk datang ke Hospital secepat mungkin.

“Rawatan klef bibir dan lelangit ini perlu dilakukan seawal dua tahun usia kanak-kanak kerana banyak perlu dilakukan selain pembedahan, termasuklah terapi percakapan,” katanya.

Turut hadir, Menteri Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmey Yahya; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian), Dr. Zaiton Tahir dan Pengarah Hospital Tawau, Dr. Norlimah Arsad.

Comment