Lelaki tetak kepala bapa saudara
16:08 Aug 10, 2022  |  By SabahKini2
Lelaki tetak kepala bapa saudara

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan pengadu (mangsa) seorang lelaki berusia 73 tahun itu telah membuat laporan polis pada malam selepas kejadian itu.

KOTA KINABALU: Seorang warga emas cedera di kepala selepas ditetak menggunakan parang oleh suspek yang juga anak saudara mangsa dalam satu kejadian di Kg Lok Kurai Selanggan, Pulau Gaya dekat sini pada Selasa pagi.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan pengadu (mangsa) seorang lelaki berusia 73 tahun itu telah membuat laporan polis pada malam selepas kejadian itu.

Menurut Zaidi, siasatan yang dijalankan mendapati, pada 9 Ogos 2022 jam lebih kurang 11.00 pagi bertempat di Kg Lok Kurai Selanggan, Pulau Gaya, suspek seorang lelaki berusia 45 tahun itu yang juga anak saudara pengadu telah mengamuk dan membuat kecoh di kampungnya.

“Semasa kejadian, suspek yang tidak bekerja juga merupakan seorang penagih dadah telah mengganggu penduduk dengan membaling batu dan kayu beruti ke rumah-rumah penduduk di kawasan tersebut tanpa sebab. Pengadu cuba menegur perbuatan suspek tetapi suspek telah balik ke rumahnya dan mengambil sebilah parang.

“Suspek kemudiannya telah datang kembali kepada pengadu dan menetak kepalanya sehingga luka. Melihat keadaan kepala pengadu yang telah berdarah, suspek kemudiannya lari dan masuk ke dalam kawasan hutan berhampiran kampung tersebut.

“Pengadu telah mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu,”katanya semalam.

Susulan kejadian itu, pada hari yang sama (9 Ogos 2022) jam lebih kurang 4.30 petang, bertempat di sebuah rumah tidak bernombor di Kg. Lok Urai, Pulau Gaya, suspek telah ditangkap oleh pegawai dan anggota Polis Balai Pulau Gaya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Comment