SPRM agresif dan buat kerja pengaruhi indeks rasuah global
00:02 Feb 23, 2018  |  By SabahKini2
SPRM agresif  dan buat kerja pengaruhi indeks rasuah global

Publisiti dan pendedahan meluas yang diberikan SPRM terhadap kes-kes ini dalam tahun-tahun mutakhir mewujudkan lebih banyak tanggapan negatif yang sekali gus menyumbang terhadap kemerosotan mata dan kedudukan CPI Malaysia

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan berkata kempen agresif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerangi rasuah tahun lalu menyumbang kepada kemerosotan mata Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Beliau berkata demikian selepas kedudukan Malaysia tahun lepas dilaporkan jatuh 7 tangga dari 62 ke 55 daripada 180 negara.

“Publisiti dan pendedahan meluas yang diberikan SPRM terhadap kes-kes ini dalam tahun-tahun mutakhir mewujudkan lebih banyak tanggapan negatif yang sekali gus menyumbang terhadap kemerosotan mata dan kedudukan CPI Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Laporan tahunan CPI oleh Transparency International (TI) berdasarkan tinjauan daripada mereka yang terlibat dalam industri perniagaan, termasuk penganalisis risiko dan orang awam bekerja di negara yang dinilai.

Laporan 2017 yang dikeluarkan hari ini meletakkan Malaysia 7 tangga lebih bawah berbanding tahun sebelum ini, prestasi terburuk sejak 5 tahun lepas.

Malaysia juga memperoleh markah 47 daripada 100. Walaupun muncul ke-3 dalam kalangan 10 negara Asean, ia masih jauh terkebelakang dari segi markah berbanding Singapura dan Brunei.

Low berkata kerajaan akan melihat kedudukan indeks secara serius agar dapat memperbaiki kedudukan CPI itu pada masa akan datang.

“Kerajaan tidak akan berdiam dan terus komitmen dalam membanteras rasuah bagi meningkatkan pentadbiran dalam sektor awam.

“Kita yakin inisiatif yang akan diambil nanti akan berhasil untuk jangka masa panjang” katanya.

Comment