Pemindahan ibu kota Indonesia eratkan hubungan dengan Malaysia
14:08 Aug 17, 2022  |  By SabahKini2
Pemindahan ibu kota Indonesia eratkan hubungan dengan Malaysia

Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI), Tawau Heni Hamidah berkata, perpindahan ibu kota itu, sudah tentunya akan meningkatkan lagi hubungan diplomatik antara kerajaan Indonesia dengan Malaysia.

TAWAU: Perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan dilihat dapat merapatkan lagi hubungan antara negara jiran itu dengan Malaysia khususnya Sabah pada masa akan datang.

Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI), Tawau Heni Hamidah berkata, hubungan kedua-dua negara ini sememangnya sangat baik sejak dari dahulu lagi.

Katanya, perpindahan ibu kota itu, sudah tentunya akan meningkatkan lagi hubungan diplomatik antara kerajaan Indonesia dengan Malaysia.

“Sabah khususnya daerah Tawau adalah wilayah paling dekat dengan ibu kota Indonesia dan pastinya ia akan mewujudkan hubungan baharu dari segi ekonomi, perdagangan, pelaburan dan sosial.

“Bandar Sempadan di daerah Tawau yang dicadangkan oleh kerajaan negeri juga sangat bertepatan kerana ia boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Hari Ulang Tahun (HUT) Kemerdekaan Indonesia Ke-77 Tahun di pejabat KRI Tawau, hari ini.

Menurutnya, kerja-kerja pembangunan ibu kota Indonesia di Kalimantan Utara kini sedang giat dilakukan sejak berakhirnya pandemik COVID-19.

“Malah, pegawai-pegawai kerajaan juga sudah dihantar ke sana dan ia akan dilakukan secara bertahap sehingga ibu kota itu siap sepenuhnya,” katanya.

Mengulas mengenai HUT Kemerdekaan ini, katanya, sambutan di peringkat KRI Tawau dilakukan dengan kehadiran kakitangan, Persatuan Wanita KRI Tawau, Pemimpin Masyarakat dan rakyat Indonesia yang berada di Tawau.

“Tema kemerdekaan ‘Pulih Lebih Cepat, Bangkit Lebih Kuat’ tahun ini adalah harapan agar Indonesia boleh bangkit setelah berlakunya pandemik COVID-19 selama lebih dua tahun.

“Sambutan ini dijalankan dengan penuh istiadat dan semua kakitangan KRI mengenakan pakaian adat dari daerah masing-masing,” katanya.

3 Comments