Isu bekalan air bersih di Kampung Kapa hingga Pekan Nabalu akan diatasi segera
15:08 Aug 17, 2022  |  By SabahKini2
Isu bekalan air bersih di Kampung Kapa hingga Pekan Nabalu akan diatasi segera

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, bekalan air bersih telah diusahakan diperingkat akhir tapi belum dilaksanakan sepenuhnya.

TAMPARULI: Isu bekalan air bersih yang dihadapi penduduk di lebih 20 buah kampung di daerah ini khususnya di Kampung Kapa sehingga Pekan Nabalu dijangka akan diselesaikan dengan segera.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, bekalan air itu sebelum ini telah pun diusahakan diperingkat akhir namun belum dilaksanakan sepenuhnya.

Katanya, kampung-kampung yang terlibat dilihat amat memerlukan bekalan air bersih terutama apabila ketiadaan hujan dalam beberapa minggu.

“Saya telah dimaklumkan bahawa peruntukan telah pun tersedia, dan kaji selidik bagi mengenalpasti kawasan laluan paip yang bersesuaian telah dilaksanakan dan kini hanya menunggu keputusan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan untuk mempercepatkan pelaksaan air bersih berkenaan.

“Bekalan air bersih adalah salah satu komponen yang penting untuk memberi keselesaan kepada pelajar-pelajar untuk menikmati pembelajaran yang selesa dan ia penting untuk digunakan dalam apa juga keadaan.

“Saya melihat ia merupakan satu dari agenda yang akan ditekankan dalam kawasan kami dan bagaimanapun banyak kawasan sudah diliputi air bersih namun alternatif lain iaitu air graviti tetapi disini agak kritikal dari kawasan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Serahan Bantuan Keperluan Murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Kapa di sini semalam.

Dalam program berkenaan, Jahid turut menyerahkan bantuan alat keperluan murid kepada 93 murid sekolah rendah dan pra sekolah selain wang tunai dan barang keperluan kepada tiga Orang Kurang Upaya (OKU) di kawasan tersebut 

Sumbangan bantuan itu merupakan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan syarikat swasta bagi membantu anak-anak dalam keluarga golongan B40 mendapat keperluan barangan sekolah.

Comment