Ekspo Terengganu 2018 Manfaatkan Rakyat Kerajaan Negeri
18:02 Feb 22, 2018  |  By SabahKini2
Ekspo Terengganu 2018 Manfaatkan Rakyat Kerajaan Negeri

Tengku Putera yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri berkata golongan belia juga digalakkan menghadiri ekspo itu kerana adanya sesi temuduga yang menawarkan lebih 700 pekerjaan.

 

KUALA TERENGGANU, 21 Feb (Bernama) -- Ekspo Terengganu 2018 anjuran kerajaan negeri, yang bakal bermula Ahad ini, bukanlah sekadar hiburan semata-mata, kata Pengerusi jawatankuasa kerja ekspo itu Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Beliau berkata sebaliknya, ekspo bertema \'Terengganu Molek Doh\' yang berlangsung hingga 3 Mac ini, merupakan platform yang menawarkan pelbagai manfaat untuk rakyat dan kerajaan negeri.

"Di situ (ekspo), kerajaan negeri akan mempamerkan banyak kisah kejayaan yang dilakarkan rakyat Terengganu selama ini hasil bantuan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan beserta komitmen tinggi mereka.

"Di situ (ekspo) juga, rakyat akan mengetahui banyak ruang bagi mereka mencapai impian yang ingin diterokai melalui peluang yang tersedia...hanya diri sendiri sahaja perlu berusaha untuk memastikan impian mereka tercapai,"katanya kepada Bernama hari ini.

Tengku Putera yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri berkata golongan belia juga digalakkan menghadiri ekspo itu kerana adanya sesi temuduga yang menawarkan lebih 700 pekerjaan.

"Terdapat 138 pekerjaan menerusi Jobs Malaysia di mana sesi temuduga akan berlangsung mulai 10 pagi hingga 6 petang selama tiga hari berturut-turut pada 25, 27 dan 28 Feb.

"Pada 1 dan 2 Mac pula, satu temuduga terbuka akan diadakan untuk projek laluan rel Pantai Timur (ECRL) di mana pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan digalakkan memohon pekerjaan dalam projek mega ini,"katanya.

Beliau berkata penganjuran Ekspo Terengganu 2018 adalah kemuncak kepada aktiviti pameran yang sering dilakukan di peringkat daerah sebelum ini.

Tengku Putera berkata buat pertama kalinya, kerajaan negeri menganjurkan ekspo itu secara besar-besaran dengan turut menawarkan pelbagai hadiah termasuk satu unit apartmen, satu lot tanah rumah, satu lot tanah pertanian, kereta pacuan empat roda dan motosikal.

"Saya sangat berharap agar rakyat Terengganu beramai-ramai memeriahkan ekspo ini kerana mereka tidak akan pulang dengan tangan kosong,"katanya.

-- BERNAMA

 

Comment