Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Cheong Yu Min berkata, modus operandi bagi tiga kes ini adalah dengan cara mengikrar dagangan import dengan barang lain bagi tujuan menyeludup dalam usaha mengaburi pihak berkuasa.
KOTA KINABALU: Cubaan menyeludup masuk empat kontena membawa muatan minuman keras berjaya digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah dalam beberapa siri serbuan di Pelabuhan Sepanggar di sini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Cheong Yu Min berkata, kesemua rampasan minuman keras tidak bercukai itu dianggarkan bernilai RM1.136 juta.
“Bertindak dengan maklumat hasil pemeriksaan menerusi imej imbasan mesin pengimbas yang meragukan, Pasukan Penguatkuasaan Cawangan Operasi Kota Kinabalu dengan kerjasama Cawangan Import Eksport Pelabuhan Sepanggar menjalankan serbuan pertama.
“Sejumlah 18,236 liter minuman keras yang dipercayai tidak bercukai dengan anggaran nilai keseluruhan RM284,139.95 berjaya dirampas di sebuah kontena jam 9.45 pagi pada 11 Ogos lalu,” katanya semasa sidang media di Pelabuhan Sepanggar semalam.
Beliau berkata kejayaan rampasan kedua turut dikesan menerusi mesin pengimbas apabila pasukan penguatkuasaan menahan dua lagi kontena di Pelabuan Sepanggar kira-kira jam 9.05 pagi pada 16 Ogos lalu.
"Pemeriksaan mendapati kedua-dua kontena itu mengandungi minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM594,410.86.
“Rampasan ketiga kemudiannya dilakukan pada jam 11.10 pagi, pada 17 Ogos lalu apabila pasukan penguatkuasaan membuat penahanan terhadap sebuah kontena yang disyaki digunakan untuk menyeludup masuk minuman keras di Pelabuhan Sepanggar.
"Berdasarkan pemeriksaan lanjut yang dijalankan, sejumlah 16,632 liter minuman keras ditemui dengan anggaran nilai harga selepas duti dan cukai berjumlah RM257,862.53,” katanya.
Menurutnya keseluruhan rampasan bagi keempat-empat kontena berisi minuman keras ini yang cuba diseludup masuk ke negeri ini dianggarkan bernilai RM1,136,413.04.
“Modus operandi bagi ketiga-tiga kes ini adalah dengan cara mengikrar dagangan import dengan barang lain bagi tujuan menyeludup dalam usaha mengaburi pihak berkuasa.
"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(a) Akta Kastam 1967," katanya.
Sementara itu,m Cheong Yu Kin berkata, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serra dinasihati tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.
"JKDM menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat.
"Pihak JKDM juga memberi jaminan, identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya