Sabah peroleh RM5.1 bilion pelaburan asing dalam tempoh 8 bulan – Hajiji
14:08 Aug 21, 2022  |  By SabahKini2
Sabah peroleh RM5.1 bilion pelaburan asing dalam tempoh 8 bulan – Hajiji

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, angka tersebut dijangka melepasi paras RM7 bilion apabila projek pelaburan berimpak tinggi bernilai RM2 bilion yang kini sedang dilaksanakan di negeri ini diambil kira.

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan pelaburan asing berjumlah kira-kira RM5.1 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Menurutnya, angka tersebut dijangka melepasi paras RM7 bilion apabila projek pelaburan berimpak tinggi bernilai RM2 bilion yang kini sedang dilaksanakan di negeri ini diambil kira. 

Hajiji berkata ini juga secara efektifnya meletakkan Sabah sebagai penerima pelaburan asing ketiga terbesar di Malaysia.

“Kami menggerakkan momentum ini dan kami yakin Sabah adalah dan akan menjadi destinasi menarik bagi pelaburan.

“Saya telah menekankan sejak awal lagi bahawa kami mahu menjadi mesra pelabur dan akan mengurangkan semua halangan bagi memudahkan semua pelaburan,” katanya pada majlis makan malam bersempena dengan lawatan Duta-Duta Negara Arab ke Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC)  malam tadi. 

Antara yang hadir pada majlis makan malam tersebut ialah Duta Yaman ke Malaysia yang merupakan Dekan Arab Diplomatic Corps di Malaysia, Dr Adel Mohamed Ali Ba Hamid, Duta Emiriah Arab Bersatu ke Malaysia Khalid AlGhaith, Duta Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussein Saeed Qattan dan Duta Jordan ke Malaysia Thamer Abdalla Mohammad Adwan

Turut hadir ialah Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali, Duta Qatar ke Malaysia Fahad Yousef Kafoud, Duta Libya ke Malaysia Mohamed AM Attia dan Charge D’Affaires (Pegawai Kuasa Usaha) Sudan di Malaysia Omer Mahgoub Ahmed Oushek.

Hajiji, yang juga merupakan Menteri Kewangan Sabah berkata beliau sangat yakin ekonomi negeri ini akan berkembang sejajar dengan ekonomi negara yang menurut Laporan Ekonomi 2022 oleh Kementerian Kewangan, dijangka mengukuh antara paras 5.5 peratus dan 6.5 peratus.

Beliau berkata perdagangan Malaysia dengan beberapa negara Arab sangat menggalakkan seperti jumlah perdagangan dengan Qatar, yang melonjak 130.2 peratus kepada RM2.87 bilion bagi tempoh Januari-Ogos tahun ini berbanding RM1.25 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

Begitu juga, jumlah perdagangan Malaysia dengan Arab Saudi meningkat sebanyak 116.7 peratus kepada RM16.98 bilion bagi tempoh Januari-Ogos tahun ini berbanding RM7.84 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Malaysia menikmati hubungan dua hala yang baik dengan negara anda dan ini terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan. 

“Bahagian-bahagian lain yang tidak kurang penting adalah hubungan budaya, teknikal dan pendidikan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan langsung asing tinggi (FDI) sebanyak RM26.7 bilion pada suku keempat tahun lepas diikuti RM23.3 bilion pada suku pertama 2022 dan RM24.1 bilion pada suku kedua 2022, menjadikan jumlah aliran masuk FDI bagi tempoh sembilan bulan pertama sebanyak RM74.1 bilion, melepasi jumlah FDI pada 2021, 2020, 2019 dan 2018. 

Comment