Anifah tidak rasis- Lajim
03:02 Feb 23, 2018  |  By SabahKini2
Anifah tidak rasis- Lajim

Hubungan antara kaum adalah satu isu yang cukup sensitif. Isu ini tidak sepatutnya digunakan oleh mana-mana pihak sama ada parti ataupun pemimpin parti politik, sebagai modal untuk berkempen

KOTA KINABALU, 22 Feb - Presiden Parti Harapan Rakyat (Harapan) Datuk Seri Panglima Lajim Hj Ukin menerusi kenyataan medianya hari ini memberikan teguran kepada Presiden Parti Warisan Sabah, Dato' Sri Shafie Apdal serta barisan kepimpinan partinya, atas tindakan mereka memainkan isu yang menurut beliau, menyentuh aspek perkauman yang keterlaluan.

"Hubungan antara kaum adalah satu isu yang cukup sensitif. Isu ini tidak sepatutnya digunakan oleh mana-mana pihak sama ada parti ataupun pemimpin parti politik, sebagai modal untuk berkempen," kata Lajim yang juga merupakan ADUN Klias itu.

Menurut beliau lagi, jelas dapat dilihat bahawa kempen yang dijalankan oleh Shafie dan Warisan akhir-akhir ini bernada mengancam perpaduan kaum hinggakan pengikut-pengikutnya turut sama menyemarakkan lagi api perkauman.

Beliau juga turut mengulas berkenaan isu siapa yang layak menjadi Ketua Menteri Sabah yang timbul baru-baru ini berikutan kenyataan Menteri Luar, Dato' Sri Anifah Hj Aman yang cuba diputar belitkan oleh sesetengah pihak.

Lajim menegaskan bahawa dalam hal tersebut, secara dasarnya beliau sependapat dengan Anifah, kerana beliau percaya sesiapa juga orang Sabah layak dilantik sebagai Ketua Menteri, asalkan orang itu adalah 'Orang Sabah Tulen'.

"Sesetengah pemimpin politik ini amat saya kenal kerana pernah bertanding dalam parti dan juga pilihanraya. Saya amat yakin kenyataan rasis atau menghina keturunan bukanlah kaedah sesuai di Sabah," sambung beliau.

Baginya, tindakan label melabel antara satu sama lain dengan pelbagai gelaran yang memperolok-olokkan bangsa masing-masing seperti itu bukanlah satu perkembangan yang sihat untuk diamalkan dalam politik lebih-lebih lagi di negara yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama ini.

Lajim turut menyatakan bahawa untuk menarik sokongan rakyat, Parti Harapan Rakyat Sabah dan Gabungan Sabah tidak akan sesekali menggunakan isu perkauman dalam memperjuangkan hak-hak Sabah.

Melalui kenyataan rasmi Lajim itu, dapatlah disimpulkan bahawa beliau sangat tidak bersetuju dengan tindakan Shafie dan pengikut-pengikutnya yang seakan-akan sengaja ingin menggugat keharmonian kaum di negara ini.

Shafie, Naib Presiden dan pengikut-pengikutnya menggelarkan Musa dan Anifah sebagai 'Pakistan' selepas merasa tersindir oleh satu kenyataan yang dikeluarkan Anifah sebelum itu, walaupun hakikatnya kenyataan Anifah itu bersifat umum, malah beliau tidak pernah menujukan kenyataan itu khusus kepada mana-mana individu tertentu.

Susulan daripada itu keluarga sebelah Ibu Musa Aman keturunan 'Aki Goong' OKK Sedomon turun mengeluarkan salahsilah keluarga dalam media sosial menjawab isu keturunan itu. - Sabahkini2

 

KENYATAAN MEDIA PENUH

Datuk Seri Panglima Lajim Hj Ukin
Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat)

22 Februari 2018

Berikutan perkembangan tidak sihat yang berlaku di antara pemimpin-pemimpin tertinggi parti-parti politik khususnya di negeri Sabah sejak akhir-akhir ini, saya merasa terpanggil untuk membuat kenyataan.

Secara terbuka dan tanpa prejudis, seikhlasnya ingin diingatkan bahawa, hubungan antara kaum adalah satu isu yang cukup sensitif. Isu ini tidak sepatutnya digunakan oleh mana-mana pihak sama ada parti ataupun pemimpin parti politik, sebagai modal untuk berkempen.

Saya mengambil kesempatan menegur Presiden Parti Warisan dan pimpinannya yang dengan jelas bermotif bernada mengancam perpaduan kaum sehingga menghina keturunan pemimpin-pemimpin parti politik sehingga mengajak pengikut-pengikut mereka menyemarakkan lagi api perkauman.

Saya juga amat percaya sesiapa juga orang Sabah berbilang kaum layak dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah asalkan orang itu 'Orang Sabah Tulen'.

Sesetengah pemimpin politik ini amat saya kenali kerana pernah bertanding dalam parti dan juga pilihanraya. Saya amat yakin kenyataan rasis atau menghina keturunan bukanlah kaedah sesuai di Sabah.

Tindakan label melabel antara satu sama lain dengan bermacam-macam gelaran yang memperolok-olokkan keturunan masing-masing bukanlah satu perkembangan yang sihat untuk diamalkan dalam politik lebih-lebih lagi di negara yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama ini.

Parti Harapan Rakyat Sabah dan Gabungan Sabah Memperjuangkan hak-hak Sabah tidak sesekali menggunakan isu perkauman untuk menarik sokongan rakyat.

7 Comments