Masyarakat Tionghua main peranan penting dalam pembangunan ekonomi
16:08 Aug 29, 2022  |  By SabahKini2
Masyarakat Tionghua main peranan penting dalam pembangunan ekonomi

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peranan masyarakat itu dalam pembangunan ekonomi negeri memang tidak dapat dinafikan dan kerajaan negeri menghargai sumbangan yang diberikan oleh masyarakat Tionghua kepada Sabah selama ini.

KOTA KINABALU: Masyarakat Tionghua memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peranan masyarakat itu dalam pembangunan ekonomi negeri memang tidak dapat dinafikan dan kerajaan negeri menghargai sumbangan yang diberikan oleh masyarakat Tionghua kepada Sabah selama ini.

"Dalam aspek pembangunan dan menjana ekonomi, kita memberi peluang kepada semua rakyat termasuk masyarakat Cina. Tidak boleh dinafikan masyarakat Cina memainkan peranan besar dalam pembangunan ekonomi di negeri ini.

"Masyarakat Tionghua terkenal sebagai orang yang bijak dalam berniaga dan peranan mereka dalam ekonomi amat penting.

"Kerajaan hari ini juga amat prihatin dan sentiasa bersikap terbuka termasuk dalam memberi peluang kepada setiap pelaburan yang datang untuk pembangunan ekonomi serta peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini,” katanya ketika merasmikan sambutan Pesta Tanglung sempena Perayaan Kuih Bulan di Lido Square, di sini semalam.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus membela nasib rakyat di Sabah tanpa mengira suku kaum termasuk kepentingan masyarakat Cina akan terus dijaga oleh kerajaan negeri hari ini.

“Kita juga mahu masyarakat Tionghua terus memberi sokongan kepada kerajaan hari kerana kita akan melakukan yang terbaik untuk pembangunan negeri serta rakyatnya,” katanya yang berasa gembira dapat hadir bersama-sama rakyat Tionghua meraikan Pesta Tanglung.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada rakyat pelbagai kaum dan agama di Sabah untuk meraikan aktiviti kebudayaan masingmasing.

Menurutnya, kebebasan untuk meraikan kebudayaan masing-masing menjadikan Sabah sebagai negeri yang unik serta harmoni.

“Keharmonian dalam kepelbagaian ini perlu kita teruskan. Kita bebas untuk meraikan perayaan masing-masing dan inilah yang menjadikan negeri kita unik.

“Seperti pada malam ini, masyarakat Tionghua di sini (Luyang) meraikan Pesta Tanglung dan kita sama-sama memeriahkannya. Suasana seperti ini perlu diteruskan sampai bila-bila dan kita bersatu sebagai rakyat Malaysia di Sabah.

“Saya berasa amat gembira kerana hadir pada malam ini dan saya melihat ramai masyarakat Tionghua datang untuk meraikan Pesta Tanglung,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr. Joachim Gunsalam; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee; Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Noorliza Awang Alip; Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah Datuk Matbali Musah; dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Luyang Gee Tian Siong.

2 Comments