Sabah setuju menganjurkan semula Kejohanan Golf Antarabangsa Masters Sabah
16:08 Aug 30, 2022  |  By SabahKini2
Sabah setuju menganjurkan semula Kejohanan Golf Antarabangsa Masters Sabah

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kejohanan berkenaan mampu membawa para pemain profesional antarabangsa dari Wilayah Asia Pasifik ke negeri ini, secara tidak langsung mempromosi Sabah sebagai destinasi pelancongan.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah membenarkan kerajaan negeri menganjurkan semula Kejohanan Golf Antarabangsa Masters Sabah setelah tiga tahun tidak diadakan.

Beliau bersetuju bahawa kejohanan berkenaan mampu membawa para pemain profesional antarabangsa dari Wilayah Asia Pasifik yang bukan sahaja memperkenalkan sukan berkenaan tetapi juga mempromosi Sabah sebagai destinasi pelancongan kepada dunia golf.

Beliau berkata demikian ketika dalam mesyuarat bersama delegasi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) yang diketuai Pengerusinya Datuk Joniston Bangkuai bersama-sama Penganjur Kejohanan Sukan Golf Profesional, Presiden One Asia dan Ketua Pegawai Eksekutif Kuma Krishna Muthuraja, hari ini.

STB sebagai pemilik jenama Masters Sabah telah memberikan kebenaran kepada One Asia untuk mengurus dan menganjurkan kejohanan berkenaan yang dicadangkan dilangsungkan pada lewat November ini.

Lokasi yang dicadangkan adalah Dalit Bay Golf and Country Club.

Dalam taklimatnya kepada Hajiji, Kuma berkata selain Malaysia, atlet golf profesional dari Thailand, Korea, Australia, Filipina adalah antara peserta yang dijangka hadir menyertai kejohanan berkenaan.

Hadir sama dalam delegasi itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif STB Noredah Othman dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Julinus Jeffrey Jimit.

Comment