Ekonomi Sabah semakin pulih – Hajiji
22:09 Sep 08, 2022  |  By SabahKini2
Ekonomi Sabah semakin pulih – Hajiji

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, KDNK Negeri Sabah pada tahun 2021 yang bernilai RM78.7 bilion telah merekodkan pertumbuhan sebanyak 1.1 peratus berbanding KDNK tahun 2020 iaitu RM 77.8 bilion ketika pandemik COVID-19 sedang menular di seluru

KOTA KINABALU: Ekonomi Negeri Sabah pada tahun 2021 menunjukkan pemulihan secara beransur, meskipun masih belum setara dengan prestasi ekonomi pada tahun 2019.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, berdasarkan dapatan daripada penerbitan buku Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mengikut negeri oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 30 Jun 2022, KDNK Negeri Sabah pada tahun 2021 yang bernilai RM78.7 bilion telah merekodkan pertumbuhan sebanyak 1.1 peratus berbanding KDNK tahun 2020 iaitu RM 77.8 bilion ketika pandemik COVID-19 sedang menular di seluruh negara.

Menurutnya, berdasarkan rekod, kadar pertumbuhan KDNK Negeri Sabah pada tahun 2020 menyusut kepada negatif 7.8 peratus berbanding tahun 2019. Sektor perkhidmatan mendominasi sumbangan kepada KDNK negeri Sabah iaitu sebanyak 47.3 peratus, diikuti sebanyak 26.0 peratus sumbangan daripada sektor perlombongan dan pengkuarian.

“Terdapat peningkatan KDNK per kapita bagi negeri Sabah iaitu RM26,674 pada tahun 2021 berbanding RM21,706 pada tahun 2020. KDNK per kapita negeri Sabah berada di bawah paras nasional iaitu KDNK per kapita Malaysia ialah RM47,324 pada tahun 2021”, katanya ketika merasmikan Siri Jelajah Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 Negeri Sabah di Ballroom Wisma Wanita Sabah, hari ini.

Hajiji berkata, penduduk Malaysia yang dibanci pada tahun 2020 adalah seramai 32.4 juta orang, berbanding pada 10 tahun yang lalu seramai 27.5 juta orang. Dalam tempoh sedekad itu, pertumbuhan penduduk meningkat lebih perlahan dengan kadar 1.7 peratus berbanding tahun 2010 pada kadar 2.1 peratus.

“Berdasarkan data dalam penerbitan pertama Penemuan Utama Banci Malaysia 2020, jumlah penduduk negeri Sabah dicatatkan seramai 3.418 juta orang pada tahun 2020 berbanding 3.117 juta orang pada tahun 2010. Katanya, terdapat penurunan dalam kadar pertumbuhan penduduk di Sabah daripada 2.3 peratus pada tahun 2010 kepada 0.9 peratus pada tahun 2020.

“Manakala dari segi kohort (kaji selidik) umur, penduduk umur muda yang ditakrifkan penduduk yang berumur daripada 0 tahun hingga 14 tahun, Sabah menyumbang 26.5 peratus terhadap jumlah keseluruhan penduduk negeri ini berbanding penduduk umur muda nasional iaitu 24.0 peratus terhadap keseluruhan penduduk di Malaysia.

“Nisbah jantina penduduk Sabah pula mencatatkan 109 lelaki bagi setiap 100 perempuan dan ini menunjukkan penduduk lelaki lebih ramai daripada perempuan”, katanya.

Menurut Hajiji, berdasarkan hasil dapatan Banci Malaysia 2020 yang telah dilancarkan pada 29 Mei 2022, sebanyak 600 Penerbitan Subnasional Dewan Undangan Negeri telah dihasilkan, dan boleh dijadikan sebagai sumber rujukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk merancang pembangunan sosio ekonomi dan strategi bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk di kawasan masing- masing.

Katanya, antara penemuan utama Statistik Subnasinal DUN bagi Negeri Sabah menunjukkan bahawa, DUN N.16 Karambunai mempunyai bilangan penduduk dan.tempat kediaman tertinggi, masing-masing iaitu 164 ribu orang dan 35,463 tempat kediaman. Manakala DUN N.01 Banggi merupakan DUN yang mencatatkan bilangan penduduk dan tempat kediaman terendah iaitu 9 ribu orang dan 2,588 tempat kediaman. Sementara daerah Kota Kinabalu mempunyai jumlah penduduk tertinggi iaitu 500,421 orang, diikuti daerah Sandakan iaitu seramai 439,050 orang.

“Jika dilihat dari segi komposisi penduduk umur muda pula, daerah Putatan mencatatkan 34.5 peratus, sekali gus menjadi daerah yang mempunyai komposisi penduduk umur muda yang paling ramai. Data dan statistik ini dapat memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa di negeri ini”, tegasnya.

Justeru itu, tambah Hajiji, Kerajaan Negeri akan menggunakan statistik hasil penemuan Banci Malaysia 2020 sehingga ke peringkat daerah untuk mentadbir urus negeri dengan
lebih cekap dan efisien manakala pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) ialah untuk memastikan pembangunan ekonomi negeri ke arah mencapai pengagihan ekonomi yang adil, saksama, dan inklusif kepada semua peringkat kumpulan pendapatan di Sabah.

Katanya, sejajar dengan hala tuju SMJ, statistik yang telah dikeluarkan dalam Penerbitan Utama Banci Malaysia 2020 di peringkat negeri dan daerah pentabiran boleh digunakan sebagai rujukan dan input yang kritikal bagi mengukur pelaksanaan program pembangunan sosio ekonomi.

“Statistik ini amat penting sebagai maklumat yang signifikan kepada Kerajaan Negeri dalam pemantauan dan penilaian keberkesanan program pembangunan, pelaksanaan keputusan dan penyelidikan di peringkat negeri, daerah pentadbiran, parlimen dan DUN.

“Data ini juga boleh dijadikan sebagai rujukan oleh Kerajaan Negeri untuk menyediakan input terbaik dalam menjayakan agenda pembangunan yang digariskan dalam hala tuju SMJ pada masa akan datang”, tambahnya.

Menyentuh Siri Jelajah Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 Negeri Sabah, Hajiji berkata, program itu merupakan pertama kali dianjurkan oleh DOSM di peringkat negeri yang bertujuan meningkatkan kesedaran berkaitan penemuan dan statistik yang telah diterbitkan hasil daripada pelaksanaan Banci Malaysia 2020.

Beliau berharap DOSM yang telah berjaya mengeluarkan data yang reliable akan terus mengeluarkan data yang memenuhi aspirasi dan kehendak pemegang taruh serta keperluan pelbagai peringkat yang diterjemahkan melalui peningkatan ketersediaan data sosial dan ekonomi. – SM

Comment