Kad UNHCR tak diiktiraf lagi, pelarian perlu daftar Kad MyRC- Hamzah
04:09 Sep 09, 2022  |  By SabahKini2
Kad UNHCR tak diiktiraf lagi, pelarian perlu daftar Kad MyRC- Hamzah

Malaysia bukanlah negara yang menjadi anggota kepada konvensyen mengenai status pelarian 1951 atau protokol mengenai status pelarian 1967 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Jadi sebenarnya kita tidak perlu mengiktirafkan kad (UNHCR) ini.

Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak lagi diiktiraf di negara ini, sebaliknya kerajaan akan menguat kuasakan penggunaan Kad Pengenalan Khas (MyRC) sebagai dokumen sah kepada pelarian yang diterima menetap di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, berkata kad itu yang didaftarkan menerusi Sistem Pengesan Maklumat Pelarian (TRIS), akan menjadi dokumen rujukan kepada semua agensi penguatkuasaan.

“Malaysia bukanlah negara yang menjadi anggota kepada konvensyen mengenai status pelarian 1951 atau protokol mengenai status pelarian 1967 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Jadi sebenarnya kita tidak perlu mengiktirafkan kad (UNHCR) ini.

“Apabila kita sudah ada program kita sendiri, maka kalau mereka tidak mahu terjebak dalam masalah lain, terutama apabila kita buat operasi nanti, kita akan umumkan hanya mereka yang statusnya dikenal pasti oleh kerajaan saja yang boleh tinggal dalam negara kita,” katanya menurut Berita Harian.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kerajaan tidak menetapkan tempoh atau sasaran waktu tertentu untuk mereka mendaftar atau penguatkuasaan tegas akan dilakukan, namun ia dilaksana sehingga kerajaan memperoleh satu jumlah pelarian yang munasabah.

“Berdasarkan statistik yang kita dapat daripada beberapa tempat, ada yang melalui pejabat UNHCR dan juga risikan, setakat ini 180,000 (pelarian). Sebab itu, kita mahu memastikan supaya program TRIS ini, kita dapat tahu benar-benar angkanya,” katanya.

 
Banyak kad UNHCR dijual dan digunakan oleh PTI

Hamzah berkata, kementeriannya dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang mengkaji bentuk kemudahan yang akan ditawarkan kepada pelarian termasuk peluang bekerja serta latihan dalam sektor seperti perladangan, pembinaan dan perkilangan.

TRIS adalah platform untuk mengumpul segala maklumat pelarian dan pencari suaka bagi membolehkan kerajaan memantau dan menjejaki semua pelarian di Malaysia, dengan maklumatnya akan diselaraskan dengan pangkalan data antaranya seperti Jabatan Imigresen, polis dan MKN.

Dalam pada itu, ditanya sama ada usaha itu seiring cadangan dikemuka MKN untuk menutup pejabat operasi UNHCR di Malaysia, Hamzah berkata, ia baru cadangan yang dikemukakan MKN yang memerlukan perbincangan serta penelitian lanjut kerajaan. – FMT

 

1 Comment