Syarikat pemula tidak dikecualikan daripada bantuan dan biaya MOSTI – Adham
15:09 Sep 12, 2022  |  By SabahKini2
Syarikat pemula tidak dikecualikan daripada bantuan dan biaya MOSTI – Adham

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pendirian ini bagi mengelakkan penghijrahan syarikat pemula ke luar negara yang boleh memberikan impak kurang baik kepada persekitaran ekonomi tempatan.

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) tidak akan mengecualikan mana-mana syarikat pemula berteknologi tinggi tempatan yang berpotensi, untuk menjadi 'Unicorn' bagi mendapatkan bantuan dan pembiayaan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini menyatakan pendirian kementeriannya itu, bagi mengelakkan penghijrahan syarikat pemula ke luar negara yang boleh memberikan impak kurang baik kepada persekitaran ekonomi tempatan.

"Startup (pemula) ini, walaupun kecil tapi ia berupaya sebenarnya untuk menjadi scaleable dengan pantas, untuk itu saya telah pun membuat pendirian dan arahan kepada MOSTI supaya tidak mengecualikan mana-mana syarikat startup daripada sektor-sektor berteknologi tinggi ini, untuk dibiayai atau dibantu sehingga mereka mendapat beberapa siri pembiayaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran KL Venture Finance Forum (KLVF) 2022 dan sambutan ulang tahun ke-20 Malaysia Debt Ventures (MDV) Berhad.

"Keperluan untuk menjemput 'venture capital' ke dalam negara kita adalah perlu, supaya VC antarabangsa berada dalam negara kita dan terus memberi sokongan kepada syarikat ini (syarikat pemula).

"Ini adalah supaya mereka (syarikat pemula) menjadi syarikat yang besar dalam negara kita sendiri, sebelum (bagi mengelakkan) mereka berhijrah ke negara lain kerana ada peluang yang lebih baik di sana," katanya.

Comment