Kerana kontrak 'Abang'impian Rafizi disaman Rahman dimakbulkan
11:02 Feb 23, 2018  |  By SabahKini2
Kerana kontrak 'Abang'impian Rafizi disaman Rahman dimakbulkan

Pihak pendaftaran Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan pengurusan kes pada 29 Mac di depan Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab dan memerintahkan Rafizi memfailkan pembelaan.

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Rahman Dahlan memfailkan tuntutan fitnah terhadap Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli kerana mendakwa beliau memberikan kontrak kepada “abang” sendiri.

Pihak pendaftaran Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan pengurusan kes pada 29 Mac di depan Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab dan memerintahkan Rafizi memfailkan pembelaan.

Dalam tuntutan mahkamah difailkan bulan lepas, Rahman mendakwa kenyataan Rafizi yang dibuat pada sidang akhbar tahun lepas dilakukan dengan niat jahat untuk mencemar reputasinya.

“Rafizi membuat kenyataan secara semberono, tanpa mengesahkan fakta,” katanya dalam tuntutan itu dan berkata Rafizi mahu meraih publisiti apabila membuat kenyataan itu.

Rahman menegaskan Rafizi kemudiannya mengaku dakwaannya salah tetapi enggan meminta maaf.

Beliau menuntut ganti rugi dan injunksi mahkamah bagi menghalang Rafizi mengeluarkan kenyataan sama terhadapnya.

Rahman juga mahu Rafizi menerbitkan permohonan maaf dalam akhbar utama Bahasa Inggeris dan Melayu.

Pada sidang akhbar 11 Disember 2017, Rafizi mendakwa kontrak Ekspo Negaraku 2017 bawah Unit Perancangan Ekonomi (UPE) diberikan kepada “Raslan”, yang mana beliau katakan abang kepada Rahman.

UPE bawah tanggungjawab Rahman.

Pada hari sama, Rahman mengadakan sidang akhbar menyangkal dakwaan Rafizi. Turut hadir Nor Raslan Mohd Dahlan, ketua pegawai eksekutif Pico Integrated Exhibit (M) Sdn Bhd.

Syarikat Raslan memperoleh kontrak Ekspo Negaraku 2017 yang mempamerkan projek-projek prasarana, termasuk projek Bandar Malaysia yang dipalit kontroversi.

“Rafizi ‘kantoi’ besar-besaran. Raslan Dahlan bukan abang saya. Rafizi berniat jahat,” kata Rahman.

Video sidang akhbar Rafizi diturunkan dari Facebook miliknya pada hari sama.

Rafizi sebelum ini berkata beliau akan meminta maaf kepada Raslan tetapi bukan Rahman.

“Rahman Dahlan patut memohon maaf kepada rakyat kerana tidak melakukan tugasnya. Semasa harga barangan naik, beliau sibuk adakan ekspo.

“Kepada Raslan Dahlan dari Pico Integrated, saya bersedia memohon maaf,” katanya.

-FMT

1 Comment