IPD Tawau tahan 4 pengedar dadah rampas 27kg ganja
15:09 Sep 15, 2022  |  By SabahKini2
IPD Tawau tahan 4 pengedar dadah rampas 27kg ganja

Ketua Polis Daerah Tawau, Assisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil rampasan bernilai RM 90,000 dipercayai dibawa masuk daripada negara jiran dan cuba dipasarkan di sekitar Kawasan Pantai Timur Sabah serta sempadan negara.

TAWAU: Tiga beradik antara empat pengedar dadah yang ditahan selepas didapati membawa lebih 27 kilogram dadah jenis ganja di tangga sebuah bangunan di Batu 10 Jalan Apas, di sini Isnin lalu.

Tangkapan dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Assisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menjalankan serbuan di lokasi tersebut selepas menerima maklumat mengenai kegiatan semua suspek terbabit.

Katanya, semasa serbuan, terdapat empat individu masing-masing dua lelaki dan wanita berumur 20 hingga 43 tahun berada di lokasi kejadian.

“Dua lelaki terbabit juga dikesan sedang leka mengangkat tiga kotak dari sebuah kereta yang terletak di kawasan parking berhampiran sebuah bangunan di kawasan tersebut.

“Siasatan awal mendapati tiga daripada suspek yang juga adik beradik adalah warga asing, manakala seorang lagi suspek lelaki warga tempatan,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kotak berkenaan, menemukan sebanyak 29 bungkusan dipercayai mengandungi 27,315.60 gram dadah jenis ganja.

“Ganja yang dianggarkan bernilai RM90,000 itu dipercayai dibawa masuk daripada negara jiran dan cuba dipasarkan di sekitar kawasan Pantai Timur Sabah dan sempadan negara.

“Semua suspek dan barang rampasan tersebut di bawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Jasmin berkata rampasan dadah ini adalah yang terbesar dilakukan oleh IPD Tawau bagi tahun ini dan polis berjaya membanteras satu lagi sindiket pengedaran dadah di daerah ini.

“Siasatan awal juga, semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mereka adalah negatif dadah,” katanya.

Comment