Kelemahan ringgit beri tekanan kepada pengimport
08:09 Sep 19, 2022  |  By SabahKini2
Kelemahan ringgit beri tekanan kepada pengimport

Kelemahan ringgit memberi kesan ketara kepada industri dan perniagaan yang bergantung kepada import kerana pengukuhan dolar AS, pastinya menyebabkan mereka perlu membayar lebih dan seterusnya meningkatkan kos.

Kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang mencecah paras terendah sejak krisis kewangan Asia 1998 pada RM4.53 akan memberi tekanan kepada pengimport.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi (SERC), Lee Heng Guie, berkata kelemahan ringgit memberi kesan ketara kepada industri dan perniagaan yang bergantung kepada import kerana pengukuhan dolar AS, pastinya menyebabkan mereka perlu membayar lebih dan seterusnya meningkatkan kos.

Katanya, antara industri yang berpotensi berdepan tekanan kelemahan ringgit berbanding dolar AS ialah automotif berikutan komponen kenderaan yang diimport.

"Kelemahan ringgit berbanding dolar AS ketika ini adalah berikutan pengukuhan mata wang negara maju itu. Ringgit juga bukan menjadi satu-satunya mata wang yang nilainya susut berbanding dolar AS, mata wang lain juga terkesan pengukuhan dolar.

"Secara keseluruhan, saya rasa kita boleh mengendalikan kelemahan ringgit. Paling penting adalah kerajaan perlu perkukuh asas ekonomi dan kewangan (negara)," katanya kepada BH.

Heng Guie bagaimanapun berkata, kelemahan ringgit pada masa ini turut memberikan impak 'double sword' iaitu kesan yang baik dan buruk, yang mana dalam hal ini pengeksport adalah penerima manfaat penurunan mata wang tempatan berbanding dolar AS.

"Impak kelemahan ringgit memberi kesan sebaliknya kepada pengeksport kerana mereka mempunyai kelebihan daya saing dengan memanfaatkan pengukuhan dolar AS," katanya.

Sementara itu, Ahli Ekonomi MIDF Research, Abdul Mui'zz Morhalim, berkata kelemahan ringgit yang berlaku akhir-akhir ini berkait rapat khususnya pergerakan dan sentimen dalam pasaran kewangan antarabangsa.

Beliau berkata, ia berikutan jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) AS bakal meneruskan tindakan agresif mengetatkan dasar monetarinya bagi mengawal kadar inflasi yang kekal tinggi.

Katanya, dari sudut fundamental, nilai ringgit sepatutnya lebih kukuh jika diukur berdasarkan asas ekonomi Malaysia yang kini berada pada kedudukan yang lebih baik setelah ekonomi negara dibuka semula.

"Selain pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh tahun ini, peningkatan harga komoditi contohnya boleh memberi sokongan kepada tukaran wang asing bagi ringgit.

"Kami menjangkakan tukaran wang asing bagi negara membangun termasuk ringgit masih berpotensi untuk mengukuh pada penghujung tahun ini kerana magnitud peningkatan kadar faedah oleh Fed AS dijangka akan lebih perlahan selain disokong peningkatan kemasukan dana wang asing ke pasaran kewangan negara," katanya.

Penganalisis Pasaran ActivTrades, Alexander Londono, pula berkata pengukuhan dolar AS itu didorong oleh jangkaan peningkatan inflasi secara berterusan.

Katanya, penyusutan Bursa Malaysia turut memberi tempias terhadap ringgit apabila indeks petunjuk utama FBM KLCI susut sebanyak 1.13 mata kepada 1,467.31 kelmarin daripada 1,468.44 pada Rabu.

"Di peringkat luar, sekiranya angka jualan runcit AS lebih baik daripada dijangkakan, ini akan menyuntik kenaikan dolar AS dan akibatnya gandingan ringgit-AS akan terus susut," katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli, sebelum ini berkata ringgit akan kekal dalam tekanan berbanding dolar AS berikutan jurang kadar yang melebar, manakala kadar dana persekutuan negara maju itu akan menjadi lebih tinggi berbanding Kadar Dasar Semalaman (OPR) menjelang minggu depan,.

Beliau berkata, pasaran memberikan reaksi terhadap data terkini Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang menunjukkan inflasi negara itu kekal tinggi walaupun harga minyak lebih rendah pada Ogos 2022 dan kenaikan kadar yang agresif oleh Fed AS sejak beberapa bulan lalu.- BH

 

1 Comment