Presiden TI-M perlu adil bagaimana dengan kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang?- Cheng Guan
12:02 Feb 23, 2018  |  By SabahKini2
Presiden TI-M perlu adil bagaimana dengan kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang?- Cheng Guan

Pastinya persepsi rakyat dan warga asing terhadap negara akan merosot apabila melihat Ketua Menteri juga menyalahgunakan kuasa. Mengapa kes ini tidak diambil kira sebagai antara punca kemorosotan indeks berkenaan?

GEORGETOWN: Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar, digesa memberi ulasan lebih adil berhubung punca kemerosotan Malaysia dalam indeks rasuah global, dengan turut mengaitkan skandal didakwa dilakukan pemimpin pakatan pembangkang.

Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan, berkata Akhbar tidak seharusnya memberi ulasan yang hanya menjurus kepada isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB); penahanan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan FELDA sebagai punca kemerosotan indeks terbabit.

Katanya, Akhbar juga dinasihat supaya menjalankan kajian menyeluruh kerana kemerosotan indeks itu turut berpunca daripada salah guna kuasa dan rasuah yang berlaku di negeri yang ditadbir oleh pakatan pembangkang, terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang.

"Contoh paling ketara apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng didakwa di mahkamah atas dua pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

"Ini berikutan skandal banglonya yang turut mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan antarabangsa, selain Guan Eng juga enggan meletak jawatannya sebagai Ketua Menteri, walaupun sudah didakwa di mahkamah.

"Pastinya persepsi rakyat dan warga asing terhadap negara akan merosot apabila melihat Ketua Menteri juga menyalahgunakan kuasa. Mengapa kes ini tidak diambil kira sebagai antara punca kemorosotan indeks berkenaan?" katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Laporan indeks rasuah dikeluarkan Transparency International, Khamis lalu, mencatatkan prestasi Malaysia menurun sebanyak tujuh tangga dengan skor 47 daripada 100 bagi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017 dan berada di kedudukan ke-62 daripada 180 negara.

Cheng Guan berkata, Akhbar juga perlu mengambil kira kes 'Banglo Disneyland' milik pemimpin muda PKR yang didakwa mempunyai kekayaan luar biasa, sekali gus memberi kesan negatif kepada negara.

"PKR ialah parti yang menerajui kerajaan Selangor. Ia sekali gus turut mewujudkan persepsi bahawa terdapat salah guna kuasa dan rasuah antara kerajaan negeri dan pemimpin PKR.

"Seterusnya, kes paling besar membabitkan pemimpin pakatan pembangkang, iaitu skandal urus niaga mata wang asing (forex) yang menyebabkan Bank Negara Malaysia (BNM) 'hilang' RM32 billion.

"Malah, Suruhanjaya Siasatan Diraja terpaksa ditubuhkan bagi menyiasat kes yang turut mendapat perhatian dunia ini, dengan pemimpin pakatan harapan bertanggungjawab ke atas kehilangan wang ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, skandal membabitkan projek mega di Pulau Pinang yang belum bermula dan laporan Kajian Kebolehlaksanaannya masih gagal disiapkan, selain tanah milik rakyat di negeri itu sudah diberi kepada pemaju juga perlu diambil kira.

Cheng Guan menegaskan, syarikat tujuan khas (SPV) bagi projek itu sudah bertukar tangan, selain syarikat gergasi dari China juga terpaksa mengeluarkan kenyataan menafikan terbabit dalam pelaksanaannya.

"Seterusnya, kekayaan luar biasa beberapa pemimpin pakatan pembangkang juga membangkitkan persoalan dari mana mereka mendapat wang begitu banyak. Ada antara mereka yang berceramah ke seluruh negara menggunakan jet peribadi dan kereta mewah.

"Pemimpin pakatan pembangkang gagal memberi jawapan mengenainya, sekali gus memberi persepsi bahawa wujud dakwaan salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan mereka. Ia antara lain turut menjejaskan indeks terbabit.

"Ini belum mengambil kira skandal membabitkan bekas Menteri Persekutuan berasal dari Sabah. Justeru, saya berharap TI-M akan berlaku jujur dan adil serta berhenti menjadi agen pakatan pembangkang," katanya.

Selain itu, katanya, kenyataan Akhbar mendakwa kegagalan SPRM membanteras rasuah sebagai antara punca kemorosotan indeks terbabit disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Sumber: Bharian

Comment