'Sabah Tulen' bukan perkauman ia peringatan jangan salah pilih- Ronald Kiandee
08:02 Feb 23, 2018  |  By SabahKini2
'Sabah Tulen' bukan perkauman ia peringatan jangan salah pilih- Ronald Kiandee

KENYATAAN MEDIA DATUK SERI DR RONALD KIANDEE, TIMBALAN SPEAKER DEWAN RAKYAT DAN MERANGKAP AHLI PARLIMEN BELURAN

Saya mengambil berat mengenai perkembangan politik yang timbul dari ucapan Datuk Anifah Aman di majlis makam malam Tahun Baru Cina di Hotel Meridien, Kota Kinabalu pada Februari 9hb, 2018 baru-baru ini.

Di akhir ucapan beliau, Datuk Anifah mengingatkan hadirin supaya jangan silap memilih. Jika memilih orang luar, beliau bukan sahaja khuatir kita akan hilang kerajaan tetapi kita boleh juga hilang negeri. Usaha untuk mempertahankan keselamatan anak cucu kita akan gagal.

Apabila ditanya maksud orang luar di sidang akhbar, Datuk Anifah jelas menafikan ia merujuk kepada mana-mana ahli politik atau parti politik. Reaksi dan tindakan pemimpin-pemimpin dan parti politik tertentu agak menghairankan dan menimbulkan tanda tanya.

Jelas Datuk Anifah kepada wartawan, beliau kaitkan dengan kenyataannya sebelum ini berhubung Sabah harus di tadbir dan perintah oleh Sabah tulen untuk memastikan kepentingan Sabah dapat dipertahankan.

Malang sekali, peringatan yang bersifat am dan nasihat yang munasabah telah diputarbelit pihak-pihak tertentu untuk menjadi kenyataan palsu berbau perkauman dan salahertikan sebagai membenci kaum tertentu.

Maka apa yang ditimbulkan oleh Datuk Anifah tidak harus dilihat dari pandangan yang sempit. Tetapi sebagai satu ingatan secara umum. Tiada pihak harus merasa terkilan jika mereka bukan tergolong dalam kategori pemimpin yang dimaksudkan oleh Datuk Anifah

Sabah adalah sebuah negeri berbilang kaum dan ugama yang begitu tinggi sekali sikap toleran dan penerimaan kepada kepelbagaian kaum dan ugama. Malah dalam hal ini, Sabah merupakan negeri contoh kepada seluruh Malaysia.

Tentu sekali, pemimpin besar negeri Sabah seperti Datuk Anifah tidak akan sesekali mengeruhkan keadaaan aman dan damai yang dikecapi untuk hanya tujuan politik semata.

Barisan Nasional Sabah tidak langsung dalam keadaan tergugat hingga melakukan tindakan desperado untuk bermain sentiment perkauman.

Di peringkat persekutuan, Barisan Nasional di bawah kepimpinan Dato Mohd Najib Tun Abdul Razak telah menghindar budaya politik “communal” dan menerapkan toleransi kepada kepelbagaian kaum dan kepelbagaian ugama melalui slogan 1Malaysia.

Beliau turut mempamerkan politik yang lebih beradab dan toleran kepada perbezaan pandangan.

Oleh yang demikian, amalan politik yang penuh muslihat hanya bertujuan untuk menimbulkan kemarahan sesuatu kaum terhadap kaum lain. Ceramah politik provokasi kaum serta mengunakan Bahasa kurang sopan tidak harus diterima dan sepatutnya di tolak oleh masyarakat Sabah.

Politik dan pilihanraya bertujuan untuk memilih wakil rakyat dan pemimpin yang akan mentadbir negeri dan negera yang boleh membawa keamanan yang berkekalan, kemakmuran yang dikecapi semua dan kemajuan untuk masa depan.

Persaingan kuasa tidak harus membawa kepertelingkahan kaum yang berakhir dengan kebinasaan yang berlaku di negara-negara lain.

DATUK SERI DR RONALD KIANDEE

Comment