Elak kalah Presiden, Madius Tangau setuju 'kawtim' serah jawatan kepada Ewon Benedick
21:09 Sep 28, 2022  |  By SabahKini2
Elak kalah Presiden, Madius Tangau setuju 'kawtim' serah  jawatan kepada Ewon Benedick

Sejak mei lalu Ewon Benedick tunjuk taring lawan Presiden. Katanya Madius lemah, UPKO lesu. Kini Madius sedar dia bakal kalah maka setuju rundingan serah kuasa dengan syarat dilantik Presiden Kehormat dan kekal tanding di Parlimen Tuaran.

Desas-desus Datuk Ewon Benedick melawan bosnya Datuk Wilfred Madius Tangau sebagai Presiden UPKO sudah terjawab sebelum ini.

Namun hari ini seperti mengukur dibaju sendiri Datuk Wilfred Madius Tangau yang tahu dia bakal kalah dicabar oleh Naib Presidennya akhirnya mengumumkan meletak jawatan sebagai Presiden UPKO

Madius Tangau tidak akan mempertahankan jawatan sebagai presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pada pemilihan parti kali ini bagi memberi laluan kepada Datuk Ewon Benedick menerajui parti itu.

Madius mengambil jalan selamat selepas semua keputusan dipersetujui untuk memberi laluan kepada pemimpin baru menerajui UPKO selain beliau ditawarkan kedudukan sebagai Presiden Kehormat.

“Dengan ini saya mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UPKO bagi penggal yang akan datang.

“Saya ingin umumkan bahawa Presiden UPKO yang baharu bakal diterajui oleh Naib Presiden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Yang Berhormat Datuk Ewon Benedick.

“Saya yakin dan percaya kepimpinan baru yang bakal diterajui oleh Datuk Ewon akan memastikan UPKO terus fokus dan komited sebagai parti tempatan yang memperjuangkan hal ehwal politik dan kepentingan rakyat lebih-lebih lagi dalam menempuhi senario politik negara yang mana keterlibatan lebih ramai pengundi baru dan muda melalui pendaftaran automatik undi-18,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Perjumpaan Khas bersama Ahli-Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan Ketua-ketua Bahagian UPKO, di Ibu Pejabat UPKO Penampang, di sini, hari ini.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, dengan keadaan politik negara yang tidak stabil dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang semakin hampir maka UPKO perlu menyusun strategi baharu untuk terus kekal relevan kepada rakyat Sabah.

“Pada masa yang sama, kesemua Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Ketua-ketua Bahagian, dan Presiden Kehormat Yang Berbahagia Tan Sri Bernard Dompok sebulat suara memberi kepercayaan kepada saya untuk memegang jawatan Presiden Kehormat UPKO yang baharu.

“Saya akan mengalas kepercayaan dan tanggungjawab ini dalam terus membantu dan bekerjasama dengan kepimpinan UPKO yang baru,” katanya.

“Apa yang pasti, teraju kepimpinan UPKO akan lebih berfokus selepas ini. Selaku bakal Presiden UPKO yang baru dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Ewon akan menumpukan hal ehwal politik dan perjuangan UPKO di Sabah.

“Manakala, saya sebagai Ahli Parlimen akan membantu menumpukan perhatian terhadap perjuangan UPKO sebagai peneraju perjuangan rakyat di peringkat politik nasional,” katanya.

PRN Sabah yang lalu Madius sebagai Presiden dan juga Timbalan Ketua Menteri Sabah tewas di Dun Kiulu dan hanya menang satu Dun di DUN Kedamaian oleh Datuk Ewon Benedick.

Kedudukan Madius Tangau juga goyang di Parlimen Tuaran kerana sebelum ini beliau bertanding atas tiket BN sebelum melompat ke Warisan selepas PRU ke 14 pada 12 Mei 2018. Madius diberikan jawatan Timbalan Ketua Menteri dan dilantik sebagai Adun Lantikan.

Ketidaktentuan kedudukan dan kekuatan UPKO menyebabkan Datuk Ewon Benedick mencabar bosnya Madius Tangau yang menyebabkan UPKO berantakan.

Oleh itu penyelesaian kali ini dapat meredakan perebutan kuasa dalam kepimpinan UPKO. Madius menjadi Presiden Kehormat Ewon sebagai Presiden dan jawatan Timbalan Presiden UPKO kekal disandang Ketua Bahagian UPKO Penampang, Datuk Donald Peter Mojuntin.  

Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-16 dan pemilihan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi bagi penggal yang baharu akan diadakan pada 15 dan 16 Oktober ini.

Paling penting dalam penyelesaian UPKO ialah Madius kekal bertanding mempertahankan Kerusi Parlimen P.170 Tuaran pada PRU15.

4 Comments