UMS, JKNS fokus tingkatkan modal insan sektor perubatan dan kesihatan Sabah
15:09 Sep 30, 2022  |  By SabahKini2
UMS, JKNS fokus tingkatkan modal insan sektor perubatan dan kesihatan Sabah

Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree berkata, keperluan ini dilihat penting terutamanya untuk mengisi keperluan doktor perubatan pakar bagi memastikan rakyat Sabah mendapat perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang terbaik.

KOTA KINABALU: Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) berhasrat untuk mengadakan kolaborasi dalam aspek pembangunan modal insan sektor perubatan dan kesihatan di negeri ini.

Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree berkata, perkara itu disuarakan dalam satu mesyuarat ketika kunjungan FPSK ke pejabat JKNS, di sini kelmarin.

“Apabila dilihat dari sudut pembangunan modal insan bagi sektor perubatan dan kesihatan, masih banyak perlu dipertingkatkan bagi negeri Sabah.

“Keperluan ini dilihat penting terutamanya untuk mengisi keperluan doktor perubatan pakar bagi memastikan rakyat Sabah mendapat perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. Rombongan FPSK disertai Timbalan Dekan dan Ketua-ketua Jabatan.

Sementara itu, mesyuarat yang dipengerusikan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Rose Nani Mudin dan turut dihadiri Timbalan-timbalan Pengarah Kesihatan Negeri serta Ketua-ketua Penolong Pengarah JKNS.

Saffree berkata, pelbagai perkara telah dibincangkan untuk kerjasama strategik selari dengan matlamat utama JKNS dan FPSK iaitu untuk meningkatkan kualiti tahap kesihatan rakyat Sabah.

“Antara isu dibincangkan termasuk kolaborasi dari segi pembangunan modal insan, perkhidmatan dan penyelidikan.

“Dengan itu, pihak FPSK percaya dengan peluang dan kerjasama erat bersama pihak JKNS, ia akan dapat menyumbang kepada keperluan khusus sektor perubatan dan kesihatan di Sabah,” katanya.-SM 

Comment