[VIDEO] Kes hutang punca ahli perniagaan diculik di Ampang dalam Vellfire putih
16:09 Sep 30, 2022  |  By SabahKini2
[VIDEO] Kes hutang punca ahli perniagaan diculik di Ampang dalam Vellfire putih

Menerusi dua video yang tular, kelihatan beberapa lelaki memaksa seorang lelaki masuk ke dalam sebuah kenderaan dan video kedua pula, menunjukkan beberapa penunggang motosikal mengejar dan cuba mengarahkan kenderaan itu berhenti.

 

Polis sedang mengesan dalang kejadian penculikan seorang ahli perniagaan di Jalan Pandan Indah 1/23D, Ampang dekat sini yang sempat dirakam dan videonya tular di media sosial, semalam.

Menerusi dua video yang tular, kelihatan beberapa lelaki memaksa seorang lelaki masuk ke dalam sebuah kenderaan dan video kedua pula, menunjukkan beberapa penunggang motosikal mengejar dan cuba mengarahkan kenderaan itu berhenti.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata kejadian itu dilaporkan orang awam berlaku pada jam 5.03 petang selepas ternampak seorang lelaki dipaksa masuk ke dalam sebuah Toyota Vellfire putih.

"Mangsa adalah seorang lelaki tempatan yang juga seorang ahli perniagaan berusia 38 tahun dan beliau selamat dalam kejadian itu selepas dibebaskan oleh penculik di sebuah kawasan di Klang.

"Lelaki itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada jam 10.45 malam tadi untuk membuat laporan dan mengalami beberapa kecederaan di muka dan kaki akibat kejadian itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata ketika kejadian penculikan, mangsa sedang makan seorang diri dalam sebuah restoran sebelum didatangi beberapa lelaki menariknya masuk ke dalam Vellfire berkenaan.

Katanya, mangsa menjerit meminta tolong dan cuba melepaskan diri namun tidak berjaya.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian ini berpunca daripada masalah hutang.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan usaha mengesan suspek kini sedang giat dilakukan," katanya yang memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu melarikan orang.

Dalam pada itu, Mohamad Farouk berterima kasih kepada orang awam yang cuba membantu dalam kejadian itu.

 

Comment