Annuar Musa akui subsidi rendah punca bekalan telur gred kawalan kurang
22:10 Oct 06, 2022  |  By SabahKini2
Annuar Musa akui subsidi rendah punca bekalan telur gred kawalan kurang

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi mengakui kekurangan bekalan telur gred kawalan pada masa ini disebabkan kadar subsidi rendah diberikan kepada pengeluar telur. Kerajaan cadang naikkan subsidi telur

Kredit:Astro Awani

Tiga bulan lalu Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) dan pengeluar telur memaklumkan bekalan telur pasti akan berkurangan sebagaimana bekalan ayam jika tidak ditangani segera. 

Kini perkara itu benar-benar terjadi apabila bekalan telur tiada di pasaran. Kos pengeluaran yang tinggi, siling harga dan subsidi rendah menjadi punca utama kepada berkurangnya bekalan telur ayam.

Jika ayam mendapat tambahan subsidi sehingga RM1.30 selain penetapan siling RM9.40 sekilogram tetapi sebaliknya pengeluar telur kekal diparas harga dan subsidi yang rendah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Annuar Musa yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi mengakui kekurangan bekalan telur gred kawalan pada masa ini disebabkan kadar subsidi rendah diberikan kepada pengeluar telur.

Beliau berkata, tinjauan mendapati bekalan telur ayam gred kawalan memang mengalami kekurangan masa ini, dengan pengeluar dan pengedar mendakwa subsidi tiga sen bagi telur gred kawalan A, B dan C tidak mencukupi berikutan kos ditanggung adalah lebih tinggi.

“Ini menyebabkan pengeluar lebih menumpukan kepada mengeluarkan telur gred premium yang harganya tidak dikawal, menyebabkan bekalan telur gred kawalan berkurangan,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Naikkan subsidi telur

Berikutan itu, katanya, cadangan menaikkan subsidi tiga sen bagi telur ayam gred kawalan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri esok. Menurutnya, syor berkenaan dibincang dalam mesyuarat jawatankuasa itu hari ini, susulan beberapa kenyataan Ahli Parlimen pembangkang serta pengeluar berhubung kekurangan bekalan telur gred kawalan di pasaran.

Dalam pada itu, Annuar berkata ada beberapa syor kepada jawatankuasa termasuk mengapungkan harga telur gred kawalan itu. Namun, katanya, jawatankuasa itu menolak syor berkenaan kerana harga gred kawalan perlu dikekalkan.

“Satu lagi cadangan adalah menyemak semua jumlah subsidi kepada pengeluar telur, iaitu tiga sen sekarang, kepada tahap baharu yang lebih besar.

“Oleh kerana ia di luar skop jawatankuasa untuk memberi kelulusan, ia akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri esok kerana membabitkan implikasi kewangan berikutan nilai yang diluluskan setakat ini adalah RM34 juta,” katanya.

Pada Julai lalu, persatuan penternak meminta kerajaan memberikan subsidi lapan sen bagi setiap telur ayam untuk membantu mengekalkan perniagaan penternakan telur dan memastikan keselamatan makanan negara.

Sejak 1 Julai lalu, kerajaan menetapkan harga siling pada 45 sen setiap telur ayam Gred A, 43 sen untuk Gred B dan 41 sen untuk Gred C.

Sebuah ladang kecil boleh menghasilkan sehingga 300,000 telur sehari, ladang bersaiz sederhana pula antara 500,000 dan 800,000 telur sehari, manakala ladang besar boleh mengeluarkan tiga hingga empat juta telur setiap hari.

Pengeluar telur ayam mengakui lebih ramai pengusaha mungkin terpaksa “bungkus” perniagaan, sekiranya mereka perlu terus menanggung kerugian.

Menurut sumber FLFAM lebih 20 syarikat pengeluar telur tutup. Ini belum termasuk pendedahan oleh Ahli Parlimen Bayan Lepas Sim Tze Tsin yang memetik data kira-kira 80 pengeluar telur melingkup kerana rugi.

Itu yang berdaftar dengan FLFAM tapi bagaimana dengan pengeluar telur ayam bumiputera yang kecil seperti 5000 sehari pasti lebih parah lagi. 

 

 

Comment