Kerjasama GRS, UMNO masih kekal
16:10 Oct 07, 2022  |  By SabahKini2
Kerjasama GRS, UMNO masih kekal

Setiausaha GRS, Datuk Masidi Manjun, berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk mengelak pertembungan politik yang tidak membawa kebaikan kepada rakyat.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) Sabah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atas dasar tidak mahu terbabit dengan situasi politik di Semenanjung.

Setiausaha GRS, Datuk Masidi Manjun, berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk mengelak pertembungan politik yang tidak membawa kebaikan kepada rakyat.

“Di Sabah, kita tidak mahu terbabit dengan apa juga politik yang berlaku di Semenanjung.

“Kita di Sabah fokus kepada pembangunan dan kerana itu kita mahu mengelak pertembungan politik yang tidak membawa kebaikan kepada rakyat,” katanya ditemui pada majlis pecah tanah sebuah projek perumahan di Beaufort, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, berkata demikian ketika diminta mengulas kerjasama di antara GRS dan BN yang sebelum ini disahkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kerjasama menghadapi PRU-15 itu sebelum ini turut diumumkan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Masidi yang juga wakil GRS untuk berunding dengan BN mengenai kerjasama itu, berkata rundingan kedua-dua pihak adalah untuk menentukan agihan kerusi yang adil dan saksama.

Bagaimanapun, katanya, persoalan utama yang dibincangkan bukan hanya jumlah kerusi tetapi untuk menonjolkan calon bersama yang diyakini boleh membawa kemenangan.

“Setakat ini hampir 90 peratus isu kita gariskan tetapi soalnya bukan berapa (kerusi), soalnya ialah kita harus menonjolkan calon bersama yang mempunyai kebarangkalian paling tinggi untuk menang, bukan soal GRS atau BN,” katanya.

Kerjasama di antara GRS dan BN Sabah sebelum ini menjadi persoalan memandangkan komposisi GRS merangkumi parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang menjadi seteru BN di peringkat Pusat tetapi sama-sama membentuk kerajaan di peringkat negeri.

PN Sabah membabitkan BERSATU Sabah yang diketuai Hajiji, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang diketuai Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Parti Maju Sabah (SAPP) diketuai bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee.

Ketiga-tiga parti komponen PN itu membentuk GRS bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Comment