142 mangsa banjir di Sabah ditempatkan di 4 PPS
14:10 Oct 11, 2022  |  By SabahKini2
142 mangsa banjir di Sabah ditempatkan di 4 PPS

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Sabah dalam kenyataan memaklumkan kesemua PPS berkenaan masing-masing dibuka pada Ahad dan Isnin susulan hujan lebat berterusan sejak Sabtu lepas.

KOTA KINABALU: Seramai 142 orang daripada 36 keluarga mangsa banjir di Sabah ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) dalam bencana melibatkan Penampang, Putatan, Papar dan Beaufort, setakat 8 pagi ini.

Jumlah itu meningkat berbanding hanya 88 orang daripada 16 keluarga mangsa banjir melibatkan tiga daerah semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Sabah dalam kenyataan memaklumkan empat PPS beroperasi ialah Dewan Kebudayaan di Penampang yang menempatkan 20 mangsa daripada empat keluarga; Dewan PPR Sri Keramat, Putatan (61 mangsa daripada 11 keluarga).

Dua lagi PPS ialah Kompleks Latihan dan Pemulihan OKU di Papar (10 mangsa daripada dua keluarga); dan Dewan DSP Mohd Dun Banir, Beaufort (51 mangsa daripada 19 keluarga).

Kesemua PPS berkenaan masing-masing dibuka pada Ahad dan Isnin susulan hujan lebat berterusan sejak Sabtu lepas.

Cuaca mendung pada pagi ini di sekitar Kota Kinabalu dan pantai barat Sabah, manakala Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut petir di beberapa lokasi dan hujan pada sebelah petang di kawasan terlibat kecuali Putatan. 

Comment