UMS terima RM2 juta sumbangan kerajaan negeri
15:10 Oct 14, 2022  |  By SabahKini2
UMS terima RM2 juta sumbangan kerajaan negeri

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penyelidikan membawa kepada penerokaan peluang baharu untuk perkembangan serta pembelajaran. Oleh itu, beliau gembira untuk mengumumkan sumbangan kerajaan negeri bernilai RM2 juta kepada tabung penyelidikan UM

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberikan dana berjumlah RM2 juta kepada Tabung Penyelidikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk tujuan memperkasakan kerja-kerja penyelidikan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penyelidikan membawa kepada penerokaan peluang baharu untuk perkembangan serta pembelajaran.

"Oleh itu, saya mahu melihat UMS membuat lebih banyak penyelidikan," katanya dalam Majlis Aku Janji sempena dengan Minggu Orentasi Pelajar Baharu UMS 2022/2023 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pro Canselor UMS dimaklumkan oleh Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Md Mansur baru-baru ini, bahawa terdapat pelbagai program termasuk penyelidikan sedang dilaksanakan ketika ini di UMS.

"Oleh itu, saya gembira untuk mengumumkan sumbangan kerajaan negeri bernilai RM2 juta kepada tabung penyelidikan UMS.

"Saya berharap perkara ini akan membangunkan lagi agenda penyelidikan universiti," katanya.

Menurutnya, generasi muda mempunyai tanggungjawab untuk melengkapkan diri masing-masing dengan kemahiran, pengetahuan serta nilai moral yang tinggi menerusi pendidikan berkualiti.

Katanya, golongan belia juga perlu diberikan peluang untuk membentuk dasar pembangunan negara.

"Sejak beberapa tahun ini, ramai belia tampil ke hadapan dan terlibat dengan beberapa pilihan raya negeri di Malaysia, ini menunjukkan kesediaan mereka untuk memberikan sumbangan dalam bentuk idea serta tenaga bagi membangunkan negara," katanya.

Hajiji berkata, atas kesedaran itu, kerajaan negeri sentiasa menyediakan ruang dan peluang kepada belia di Sabah untuk terlibat sama dalam proses secara lebih holistik menerusi beberapa inisiatif seperti Parlimen Belia Sabah dan juga Program Felo Sabah Maju Jaya dibawah Kementerian Belia dan Sukan.

Menurutnya, kumpulan pertama 24 graduan program Felo Sabah Maju Jaya akan mengikuti program bimbingan selama enam bulan di kesemua 12 Kementerian sejak Mac lalu.

"Program ini sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk membangunkan modal insan negeri.

"Ia juga merupakan peluang kepada belia untuk memberikan sumbangan positif sama ada mereka akan ceburkan diri dalam politik atau membantu membentuk dasar kerajaan di masa hadapan," katanya.

Hajiji berkata, pembangunan modal insan adalah tiga tonggak utama dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya menerusi kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-BN.

Katanya, pada Bajet 2022, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan pembangunan modal insan di Sabah dan kemakmuran rakyat.

Beliau juga berharap golongan belia akan lebih terlibat dalam proses pilihan raya memandangkan semua warganegara Malaysia secara automatik didaftarkan sebagai pengundi apabila mencapai umur 18 tahun.

"Ia bukan sahaja anda didaftarkan secara automatik tetapi juga tanggungjawab anda sebagai warga negara untuk memilih kerajaan Malaysia," katanya.

Hajiji juga menasihatkan pelajar baharu yang berasal dari pelbagai perbezaan latar belakang agama dan bangsa agar menjadikan UMS sebagai platform untuk mengekalkan serta menguatkan kesatuan yang sedia terjalin diantara satu sama lain.

"Menerusi persefahaman itu, maka wujudnya keadaan harmoni dan kesatuan dalam bangsa serta agama. Kita mesti sentiasa bersatu dalam usaha mengekalkan keamanan serta kemakmuran," katanya.

Sejumlah 4,576 pelajar baharu UMS telah dipilih yang merangkumi 60.6 peratus (2,770) dari Sabah dan bakinya 1,144 dari pelbagai negeri di Malaysia serta 582 dari Sarawak serta 23 pelajar antarabangsa.

Comment