(VIDEO) Ucapan menyentuh hati pemimpin berjiwa rakyat Tawfiq Abu Bakar Titingan
23:02 Feb 24, 2018  |  By SabahKini2
(VIDEO) Ucapan menyentuh hati pemimpin berjiwa rakyat Tawfiq Abu Bakar Titingan

TAWFIQ (tengah) menyampaikan bantuan kerusi roda kepada seorang penduduk Kampung Titingan yang terbabit dalam kebakaran pada 5 September tahun lalu pada Majlis Penyampaian Sumbangan di Tawau. - Foto Nasrawati Syarifuddin Bharian

Lapan bulan tidak bersama warga Tawau terutama penduduk Kampung Titingan tetapi rasa macam lapan tahun tak bertemu. Terlalu lama saya memendam rasa untuk turun (bertemu rakyat) tetapi tidak dibenarkan oleh doktor

 

Ucapan YB Datuk  Tawfiq Abu Bakar Titingan menyentuh perasaan sebahagian besar hadirin dengan ada antaranya tidak dapat
menahan sebak hingga menitiskan air mata.

TAWAU: "Setiap malam, Saya tidak boleh tidur kerana mengingat janji saya kepada penduduk Kampung Titingan yang rumah mereka terbakar. Saya ada berjanji kepada tuan ali alwie dan kepada kepimpinan kampung dan kepimpinan bahagian bahawa saya akan turun dan bagikan setiap ketua ahli keluarga RM1000 untuk meringgankan bebanan mereka.

"Saya takut terus nanti pejam mata tanpa menunaikan janji tersebut. Itulah saya datang walaupun saya dalam keadaan sakit. Saya gagahi juga untuk jumpa mereka yang pernah saya janji untuk bagi bantuan. Barulah rasa saya boleh tidur dengan tenang".

Demikian kata Ahli Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dalam ucapannya pada majlis penyampaian sumbangan peribadi beliau itu di Balai Raya Kampung Titingan di sini, hari ini.

Ucapan beliau menyentuh perasaan sebahagian besar hadirin dengan ada antaranya tidak dapat menahan sebak hingga menitiskan air mata.

Menteri Belia dan Sukan Sabah itu yang sebelum ini berehat lebih lapan bulan kerana penyakit yang dirahsiakan dan menerima rawatan di Kuala Lumpur, tiba di majlis berkenaan dengan dipimpin menaiki pentas, selain turut kelihatan cengkung.

Tawfiq berkata, beliau sedih kerana tidak dapat bertemu rakyat dalam tempoh lama, namun menguatkan semangat untuk turun padang buat kali pertama.

"Lapan bulan tidak bersama warga Tawau terutama penduduk Kampung Titingan tetapi rasa macam lapan tahun tak bertemu. Terlalu lama saya memendam rasa untuk turun (bertemu rakyat) tetapi tidak dibenarkan oleh doktor.

"Saya gagahkan juga untuk datang berjumpa penduduk kampung yang pernah saya janji untuk beri bantuan. Saya datang bukan atas Tawfiq, tetapi kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN), saya gagahi juga," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim.

Pada majlis itu, Tawfiq menyampaikan sumbangan kepada 85 ketua keluarga mangsa kebakaran, selain 307 keluarga menerima sumbangan zink untuk memperbaiki rumah, seorang penduduk menerima kerusi roda dan 330 lagi menerima bantuan asas.

Dalam majlis itu, beliau juga memohon maaf kepada penduduk Kampung Titingan kerana tidak dapat menunaikan tugas sebagai pemimpin di kawasan itu selama lapan bulan.

"Saya rasa amat bersalah dan memohon semua penduduk memaafkan saya, bukan tidak mahu berkhidmat, tetapi keadaan tak mengizinkan.

"Saya mungkin akan berada di hospital dua hingga tiga bulan lagi. Siapa pun jadi calon (pilihan raya) berikan sokongan.

"Individu tidak penting, yang penting BN perlu kita pastikan meneruskan kesinambungan pentadbirannya di Malaysia. Saya mohon semua mendoakan kesihatan saya supaya cepat sembuh," katanya.

Sumber Asal:BH

1 Comment