New Zealand cadang pindaan akta perangi keganasan
14:10 Oct 19, 2022  |  By SabahKini2
New Zealand cadang pindaan akta perangi keganasan

Pindaan kepada Control Orders Act dan Terrorism Suppression Act dibuat susulan pengenalan rang undang-undang Counter-Terrorism Legislation pada 2021.

WELLINGTON: Parlimen New Zealand pada Rabu mencadangkan pindaan kepada undang-undang perangi keganasan dalam usaha meningkatkan lebih banyak sekatan terhadap suspek disyaki merancang serangan.

Pindaan kepada Control Orders Act dan Terrorism Suppression Act dibuat susulan pengenalan rang undang-undang Counter-Terrorism Legislation pada 2021.

Rang undang-undang itu diwujudkan ekoran serangan pisau terhadap beberapa pengunjung pasar raya Auckland oleh seorang suspek lelaki.

"Walaupun tiada undang-undang boleh menghalang pengganas yang nekad melakukan serangan, pindaan ini akan membantu dalam mencegah, mengganggu dan mengehadkan keupayaan mereka untuk berbuat demikian," kata Menteri Undang-Undang Kiri Allen.

Selepas serangan pisau di pusat membeli-belah pada tahun 2021, kerajaan New Zealand melakukan semakan berhubung cara menambah baik undang-undang untuk mengelak serangan serupa berlaku.

Suspek dalam insiden itu berjaya ditembak mati oleh polis.

Kejadian itu merupakan serangan pelampau kedua di negara itu dalam tempoh lebih dua tahun selepas pembunuhan beramai-ramai di dua masjid Christchurch pada Mac 2019 yang membunuh 51 orang dan mencederakan puluhan lagi.

Perubahan kepada akta tersebut kini perlu melalui Parlimen dan tidak mungkin dimuktamadkan sebelum Mac 2023.

Comment