Bung minta penjelasan SPR penambahan lebih 50% pengundi di Sabah meragukan
09:10 Oct 22, 2022  |  By SabahKini2
Bung minta penjelasan SPR penambahan lebih 50% pengundi di Sabah meragukan

Menurut Bung Menurutnya, terdapat peningkatan pengundi Bumiputera Islam yang tinggi di kawasan penduduk Kadazan Dusun Murut (KDM) antaranya Parlimen Penampang dan perkara itu memerlukan penjelasan supaya tidak timbul keraguan dalam kalangan rakyat.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar Radin meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi penjelasan berhubung peningkatan mendadak jumlah pengundi berdaftar di negeri itu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu berkata, peningkatan mendadak itu meragukan apabila jumlah pengundi berdaftar pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) meningkat lebih 50% berbanding pengundi PRU14.

Menurutnya, terdapat peningkatan pengundi Bumiputera Islam yang tinggi di kawasan penduduk Kadazan Dusun Murut (KDM), antaranya Parlimen Penampang dan perkara itu memerlukan penjelasan supaya tidak timbul keraguan dalam kalangan rakyat.

“Pertambahan jumlah pengundi yang terlalu tinggi secara tidak langsung memberi kesan terhadap parti politik dalam pilihan raya kali ini (PRU15)…jumlah tersebut amat meragukan,” katanya dalam kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan peningkatan mendadak pengundi di Sabah, iaitu daripada 1,064,686 orang ketika PRU14 pada 2018 kepada 1,638,806 orang tahun ini untuk PRU15.

Sementara itu, Bung meminta SPR mempertimbangkan kelayakan undi awal atau undi pos kepada mahasiswa, terutama yang baharu mendaftar di universiti bagi membolehkan mereka mengundi pada PRU15.

Menurutnya, hak golongan itu untuk memilih tidak boleh dipinggirkan, terutama apabila pengundi muda berusia 18 tahun dibenarkan mengundi melalui pendaftaran automatik yang berkuat kuasa 15 Dis 2021.

“Kita sedia maklum penuntut universiti termasuk dalam kelompok pengundi 18 tahun yang sedang menuntut dan sebahagiannya baru mendaftarkan diri bagi memulakan sesi pengajian di seluruh universiti di negara ini.

“Justeru, kumpulan ini perlu diberikan kelonggaran membuang undi awal atau undi pos supaya hak mereka sebagai pemilih tidak terabai,” katanya.

 

Comment